
KUCHING: Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) menyifatkan pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebagai lebih bersasar berbanding Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana kebanyakan barangan keperluan asas dikecualikan daripada cukai tersebut.
Setiausaha Agungnya, Dato Jonathan Chai berkata langkah itu dapat membantu melindungi golongan berpendapatan rendah daripada beban cukai ke atas keperluan harian, namun beliau mengingatkan bahawa peluasan SST berpotensi memberi tekanan terhadap harga barangan dan perkhidmatan tidak asas, terutama dalam sektor yang sebelum ini tidak dikenakan cukai.
“Keberkesanan pendekatan ini bergantung kepada pelaksanaan yang jelas serta komunikasi yang telus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau juga menegaskan bahawa kekeliruan dalam kalangan peniaga dan pengguna boleh timbul sekiranya tiada panduan terperinci diberikan mengenai barangan dan perkhidmatan yang dikenakan cukai.
Menurut Jonathan, banyak Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Sarawak masih dalam proses pemulihan pasca pandemik dan menghadapi kekangan sumber bagi mematuhi peraturan baharu tersebut.
Justeru, beliau mencadangkan kerajaan menaikkan ambang hasil tahunan pendaftaran SST daripada RM1 juta kepada RM2 juta, agar lebih banyak perniagaan kecil dikecualikan daripada beban cukai tambahan.
SBF turut menyarankan agar kerajaan memperkukuh mekanisme pemantauan harga serta melaksanakan program pendidikan dan kempen kesedaran pengguna bagi mengelak pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.
“Platform advokasi dasar juga perlu diwujudkan supaya pihak industri boleh berinteraksi terus dengan kerajaan bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai senarai barangan bercukai,” tambahnya.
Beliau berharap langkah-langkah tersebut dapat memastikan pelaksanaan SST yang lebih adil, teratur dan memberi manfaat kepada semua pihak tanpa membebankan golongan rentan atau menjejaskan daya saing perniagaan kecil.