
SIBU: Sarawak memerlukan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran dalam sektor solar bagi menyokong aspirasi negeri mencapai kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu yang mampan menjelang 2030.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kerajaan negeri menyasarkan kapasiti penjanaan tenaga mencecah 10 gigawatt (GW) menjelang 2030 dan 15GW menjelang 2035, dengan sekurang-kurangnya 60 peratus daripadanya disumbang oleh sumber tenaga boleh baharu termasuk solar.
“Sarawak kini mampu menjana bekalan elektrik sebanyak 5,898 megawatt (MW) atau bersamaan 5.8GW, manakala keperluan semasa adalah sekitar 4,897 MW. Ini bermakna kita mempunyai lebihan tenaga yang ketara.
“Namun begitu, menjelang 2030 kita menyasarkan kapasiti penjanaan sebanyak 10,000 MW, dengan unjuran permintaan sekitar 7,000 MW. Menjelang 2035 pula, sasaran meningkat kepada 15,000 MW dan daripada jumlah itu, 60 peratus akan disumbangkan oleh sumber boleh diperbaharui,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan penyerahan Sijil Akreditasi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak oleh Pengarah Bekalan Elektrik, Muhammad Randi Abdullah kepada Naib Canselor UTS, Prof Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid dalam satu majlis di kampus utama UTS hari ini.
Sijil berkenaan merupakan pengiktirafan rasmi kementerian kepada UTS untuk melaksanakan Kursus Reka Bentuk Sistem Solar Fotovoltaik (PV) selaras dengan matlamat Sarawak memperkasakan pembangunan tenaga boleh baharu dan mencapai status negeri maju berasaskan ekonomi hijau.
Julaihi berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri dalam membangunkan tenaga kerja mahir sejajar dengan pertumbuhan pesat industri tenaga solar.
“Solar merupakan antara sumber tenaga hijau yang kita bangunkan secara agresif. Komitmen ini membuktikan kesungguhan kita untuk memastikan bekalan elektrik negeri ini datang daripada sumber yang bersih dan lestari,” katanya.
Menurut beliau, beberapa lokasi strategik telah dikenal pasti bagi pembangunan projek solar terapung, antaranya Empangan Batang Ai, Bakun dan Murum.
“Projek solar terapung di Empangan Batang Ai telah mula beroperasi sejak Disember tahun lalu dengan kapasiti 50MW menggunakan hanya kira-kira tiga peratus daripada keseluruhan permukaan air empangan itu.
“Ini menunjukkan potensi besar untuk diperluas pada masa hadapan. Selain Batang Ai, kita turut meneliti potensi pembangunan di Murum dan Bakun. Malah, beberapa pelabur telah menunjukkan minat untuk turut serta dalam projek berkenaan,” katanya.
Tambahnya, bagi menyokong pembangunan pesat sektor itu, Sarawak memerlukan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, justeru latihan khusus perlu disediakan.
“UTS kini dikenalpasti sebagai rakan strategik penting melalui kerjasama dengan Akademi Teknologi Entera bagi menawarkan latihan dalam bidang reka bentuk dan pembangunan tenaga kerja profesional berkaitan.
“Kita juga bekerjasama dengan 32 pusat latihan lain di seluruh negeri untuk melatih pekerja seperti penyelia elektrik, juruelektrik, kontraktor pemasangan elektrik dan sebagainya. Kesemuanya penting dalam menyokong ekosistem tenaga masa hadapan negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, dalam konteks Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030), bekalan elektrik merupakan antara tujuh pemacu utama dalam merealisasikan enam sektor strategik negeri yang disasarkan ke arah mencapai status negeri berpendapatan tinggi.
“Dengan potensi besar dalam tenaga boleh diperbaharui, Sarawak berada pada kedudukan strategik untuk muncul sebagai hab tenaga hijau negara serta berperanan dalam merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai Bateri ASEAN,” ujarnya. Oleh Tarani Lanting