
BINTULU: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) terus menunjukkan komitmen tinggi dalam memelihara kawasan terlindung sepenuhnya di seluruh negeri dengan memberi keutamaan kepada keseimbangan antara pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan yang mampan.
Pengurus Besar SFC, Abang Arabi Abang Aimran berkata, tanggungjawab SFC tidak hanya terhad kepada pengurusan hutan dan taman negara, tetapi turut merangkumi kawasan marin negeri yang kaya dengan biodiversiti.
“Kawasan ini semakin terancam akibat aktiviti manusia dan kesan perubahan iklim. Oleh itu, pendekatan yang menyeluruh dan bersepadu amat diperlukan dalam usaha pemuliharaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Pelepasan Aktiviti Pembersihan Terumbu Karang yang diadakan di Pangkalan Jeti Pasukan Polis Marin Wilayah 5, di sini, hari ini.
Menurutnya, usaha pemuliharaan marin SFC telah bermula sejak 2000 dengan penubuhan unit khas bagi memantau kawasan pesisir dan terumbu karang. Unit ini menggabungkan data saintifik daripada makmal dan universiti untuk diterapkan dalam dasar serta pelaksanaan di lapangan.
“Kami percaya bahawa pemeliharaan yang berkesan hanya dapat dicapai apabila pengetahuan dan tindakan digabungkan secara holistik.
“Sehubungan itu, kami turut melatih kakitangan teknikal bukan sekadar sebagai pegawai penguat kuasa, tetapi juga sebagai pendidik alam sekitar dan fasilitator komuniti bagi memastikan mesej pemuliharaan sampai ke peringkat akar umbi,” jelasnya.
Tambah beliau, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, SFC telah menggunakan pendekatan berasaskan teknologi tinggi, termasuk penggunaan dron bawah air atau remote operated vehicle (ROV) yang dilengkapi sensor berkualiti tinggi. Teknologi ini membolehkan pengesanan perubahan suhu, tahap kekeruhan air serta kandungan oksigen terlarut di kawasan terumbu karang.
Pelaksanaan inisiatif ini turut mendapat kerjasama strategik daripada institusi pengajian tinggi tempatan seperti Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaya (UM) dan beberapa institusi lain.
Oleh Carolyne Utih