
KUCHING: Penganjuran Majlis Ngiling Bidai Daerah Gedong menjadi cerminan keharmonian rakyat pelbagai kaum serta usaha berterusan memartabatkan adat dan budaya masyarakat Dayak dalam landskap pembangunan negeri.
Sebanyak 55 kampung dari Zon Ulu, Zon Pangkor dan Zon Proper terlibat dalam menjayakan majlis tersebut, memperlihatkan semangat kerjasama yang utuh serta kebanggaan terhadap adat sendiri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, acara tersebut melangkaui sekadar penutupan musim Gawai kerana ia membawa erti mendalam terhadap penyatuan rakyat dan penghargaan kepada sumber rezeki yang dikurniakan.

“Ngiling Bidai bukan sekadar penutup perayaan, tetapi satu simbol rasa syukur atas hasil tuaian, pengukuh nilai kekeluargaan serta lambang perpaduan kaum yang menjadi kekuatan utama Sarawak,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut di Pusat Konvensyen dan Hotel Raia, malam tadi.
Dalam pada itu, beliau berkata nilai-nilai inilah yang perlu dipelihara agar keharmonian yang dikecapi tidak terjejas oleh perbezaan, sebaliknya dijadikan kekuatan bersama menuju negeri yang lebih maju dan bersatu.
“Tradisi yang kita raikan hari ini adalah warisan berharga. Kita mesti pastikan ia tidak pupus ditelan zaman.
“Sebaliknya, ia harus terus hidup dalam jiwa generasi baharu sebagai asas kepada jati diri dan semangat kenegaraan,” tambahnya.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Majlis Ngiling Bidai Daerah Gedong 2025, Dato Sri Mohd. Naroden Majais; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris dan Residen Bahagian Samarahan, Mohd Irwan Bahari Bujang.
Oleh Amanda L