
BELAGA: Pesta Adet Saviek Kajang 2025 terus menjadi platform penting dalam usaha memelihara identiti dan warisan budaya masyarakat Kajang apabila berlangsung meriah selama tiga hari di Uma Lahanan, Long Semuang, bermula 27 hingga 29 Jun, dan berakhir hari ini.
Timbalan Menteri Digital yang juga Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, pesta tahunan itu bukan sekadar perayaan, sebaliknya lambang kesyukuran, kepimpinan, disiplin dan semangat kekeluargaan yang diwarisi masyarakat Kajang sejak turun-temurun.
“Pesta Adet Saviek merupakan simbol kemegahan dan kemenangan masyarakat Kajang, selain mencerminkan kepimpinan serta nilai disiplin tinggi dalam komuniti ini.
“Ia menjadi ruang pembelajaran budaya yang menghubungkan generasi muda dengan adat dan cara hidup lama yang masih relevan hingga hari ini,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Ahli Dewan Negara, Senator Michael Mujah Lihan semasa majlis perasmian, malam tadi.
Beliau turut menegaskan kepentingan meneruskan penganjuran pesta ini agar generasi muda sentiasa memahami, menghormati dan menyanjungi perjuangan serta nilai murni yang diwariskan oleh nenek moyang mereka.
Pada majlis sama, Senator Michael Mujah turut menyampaikan bantuan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM18,000 kepada empat penerima, iaitu RM5,000 kepada Persatuan Kebangsaan Etnik Kajang Sarawak, RM3,000 kepada Gereja BEM Uma Tanjong, Long Pawah manakala JKKK Uma Lahanan, Long Semuang dan Biro Sukan Uma Sekapan Piet masing-masing menerima RM5,000.
Beliau juga mengumumkan tambahan dana sebanyak RM10,000 kepada Uma Lahanan selaku penganjur utama pesta berkenaan.
Pesta Adet Saviek merupakan sambutan kesyukuran masyarakat Kajang, setara dengan perayaan Hari Gawai Dayak bagi Iban, Do Ledoh bagi Kayan dan Lepa Ajau bagi Kenyah sebagai meraikan rezeki dan hasil sepanjang tahun.
Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai aktiviti diadakan termasuk sukan tradisional, persembahan seni budaya, tarian tradisional, serta acara kemuncaknya iaitu Pertandingan Lereang dan Lenya (Kumang & Keling) yang berlangsung pada malam penutupan.
Majlis turut diserikan dengan persembahan kebudayaan oleh penduduk rumah panjang komuniti Kajang serta persembahan khas daripada artis jemputan, Rosiana Urai.
Acara ini sekali gus menyerlahkan keunikan dan kekuatan budaya masyarakat Kajang yang terus dipelihara dan dipertahankan hingga ke hari ini. – UKAS