KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak berjaya melakar tiga siri kejayaan dalam Operasi Benteng Covid-19 dan Operasi Libas dengan jumlah nilai keseluruhan dianggarkan bernilai RM1,245,314.84 berserta dua lelaki tempatan telah ditangkap.
Komandernya, SAC Mancha Ata berkata, operasi tersebut dijalankan sepanjang tempoh 30 Julai hingga 3 Ogos lalu
“Kejayaan pertama dalam operasi Op Benteng pada 03 Ogos dengan serbuan dan pemeriksaan keatas sebuah premis kediaman yang disyaki dijadikan stor penyimpanan rokok tanpa cukai yang terletak di Jalan Semaba, Kuching.
“Hasil pemeriksaan telah menjumpai sejumlah rokok pelbagai jenis berjumlah 7,890 karton rokok putih dan kretek dengan anggaran sebanyak 1,488,400 batang rokok.
“Turut dirampas sebuah beg, wang tunai disyaki wang penjualan rokok bernilai RM8,104, sebuah kad ATM berserta sebuah kad pengenalan dan lesen memandu, tiada sebarang tangkapan dibuat.
“Semua rokok tersebut dirampas kerana disyaki tidak bercukai dengan anggaran nilai rampasan bernilai RM1,149,492 termasuk cukai,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurutnya, kejayaan kedua dalam operasi Ops Libas pada 30 Julai lalu hasil pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan pacuan empat roda di Sungai Tanggang, Sri Aman kerana disyaki mengambil bahan api (diesel) bersubsidi di Serian.
“Hasil pemeriksaan, pasukan serbuan telah menjumpai 1,800 liter diesel (bersubsidi), kenderaan tersebut turut dirampas dengan anggaran nilai rampasan bernilai RM93,776.84.
“Turut ditangkap adalah seorang lelaki tempatan berbangsa Melayu berumur 43 tahun yang merupakan pemandu kenderaan tersebut dan seorang lelaki tempatan berbangsa Cina berumur 43 tahun yang merupakan pemilik barangan tersebut.
“Semasa pemeriksaan lanjut dijalankan, pemilik barangan tersebut telah cuba untuk memberi wang suapan sebanyak RM500 kepada ketua pasukan serbuan agar tidak dikenakan tindakan undang-undang,” jelasnya.
Tambahnya, kejayaan ketiga adalah Operasi Benteng pada 1 Ogos, serbuan dan pemeriksaan telah dibuat keatas sebuah longgokan gula yang ditinggalkan bertempat di jalan tikus (sempadan tapak Megah, Malaysia / Long Nawang, Indonesia).
“Hasil pemeriksaan, pasukan serbuan telah menjumpai sejumlah 660 kilogram gula pasir dan kasar yang disyaki cuba untuk diseludup ke negara jiran dengan nilai rampasan bernilai RM2,046 dan tiada tangkapan dibuat dan kesemua rampasan dibawah Akta Kawalan Bekalan diserah kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Bahagian Kapit untuk tindakan lanjut.
“Manakala, semua tangkapan dan rampasan di bawah Akta Kawalan Bekalan akan diserah kepada KPDNHEP manakala tangkapan dibawah Seksyen 17 (B) Akta SPRM 2009 akan diserahkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya.
Tegasnya, operasi pembanterasan aktiviti penyeludupan rokok akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan kegiatan ini dapat dilumpuhkan.