KUCHING: Kompaun sebanyak RM1,000 kerana tidak memakai pelitup muka adalah agak mahal kerana ramai yang tidak mampu membayarnya, terutama mereka yang kurang berkemampuan.
Seorang pengurus syarikat swasta, Peter Pau berkata langkah mewajibkan pemakaian pelitup muka adalah baik tetapi jumlah kompaun adalah tinggi.
“Bagi kesalahan seperti melanggar lampu isyarat, pesalah cuma dikenakan denda sebanyak RM300 dan kesalahan ini mungkin boleh menyebabkan kematian.
“Kita mempunyai Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) untuk melihat kepada prosedur operasi standard (SOP) yang mungkin berbeza dengan Semenanjung Malaysia.
“Namun, sesetengah langkah yang diambil oleh pihak berkuasa di sana mungkin berbeza dengan JPBN dan ini mengelirukan orang ramai,” kata Pau.
Beliau berkata pesalah kali pertama harus diberi amaran dan bukannya dikompaun terus dan ramai di antara mereka ini adalah orang luar bandar dan orang muda yang mungkin tidak berkemampuan untuk membayarnya.
Pau berkata di sesetengah kedai makan dan minum, SOP adalah dua orang untuk satu meja tetapi bagi meja yang besar dan panjang, ia mungkin boleh memuatkan lebih dari dua orang.
“Ini semua adalah logik. Pihak berkuasa harus mempunyai logik apabila melaksanakan penguatkuasaan,” kata Pau sambil berharap JPBN dapat mengurangkan jumlah kompaun.
Datuk Bandar Bandaraya Miri, Adam Yii juga menyeru pihak polis supaya tidak terlalu tegas untuk tindakan memberi kompaun kepada orang awam yang tidak menulis nama penuh semasa makan di kedai makan dan minum.
Apabila dihubungi Utusan Sarawak, Timbalan Pesuruhjaya Polis, Dato’ Dev Kumar berkata pihak polis akan memberi amaran terlebih dahulu sebelum memberi kompaun.
Beliau menasihati orang ramai supaya memakai pelitup muka di tempat yang sesak.