
KUALA LUMPUR: Malaysia boleh menarik aliran masuk modal baharu dalam pasaran bon dan ekuitinya, disokong oleh ringgit yang lebih kukuh dan kemungkinan perubahan dalam dasar monetari Amerika Syarikat (AS).
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata kenaikan ringgit mempertingkat kuasa beli import Malaysia dan mungkin merangsang minat pelabur asing dalam aset kewangan tempatan.
Bagaimanapun beliau menegaskan bahawa skala dan ketahanan aliran masuk ini akan bergantung kepada asas makroekonomi, pendirian dasar monetari dan sentimen pelabur berbanding negara serantau lain.
Laporan Wall Street Journal bahawa Presiden AS Donald Trump sedang mempertimbangkan pengumuman awal calon Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) yang seterusnya, telah memberi kesan ketara di seluruh pasaran global, dengan implikasi yang berpotensi kepada Malaysia.
“Pasaran mula menjangka perubahan dalam dasar monetari AS, yang berkemungkinan menyebabkan penyusutan dolar AS berbanding ringgit.
“Pada masa ini, dengan Indeks Dolar AS (DXY) berada pada 97.4 dan gandingan dolar AS-ringgit diniagakan sekitar 4.225, trajektori jangka pendek ringgit dijangka bergantung kepada hala tuju dasar monetari AS,” katanya kepada Bernama.
DXY, yang mengukur dolar AS berbanding sekumpulan enam mata wang utama sering mempengaruhi pasaran global, termasuk prestasi ringgit dan daya saing eksport Malaysia.
Ringgit telah meningkat dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini, menokok daripada RM4.2948 bagi setiap dolar AS pada 23 Jun kepada RM4.2327 pada 26 Jun, dengan kenaikan 1.5 peratus.
Trump, Fed dan Hala Tuju Ringgit
Mohd Sedek berkata pasaran peka dengan kritikan berulang Trump terhadap Pengerusi Fed Jerome Powell terutamanya mengenai kelewatan dalam menurunkan kadar faedah.
Calon baharu yang bakal dilantik dijangka lebih senada dengan pendekatan ekonomi Trump, yang menyokong penurunan kadar faedah lebih awal dan lebih agresif bagi menangani tekanan inflasi daripada dasar perdagangan, termasuk tarif timbal balas yang ditangguhkan sehingga 9 Julai 2025.
Tarif berkenaan telah menyebabkan Fed mengambil pendekatan berhati-hati untuk melonggarkan dasar monetari.
“Sekiranya Fed melaksanakan penurunan kadar faedah, yang berpotensi seawal September ini dengan pengurangan sebanyak 25 mata asas, jangkaan perbezaan kadar faedah antara AS dan pasaran sedang pesat membangun akan lebih kecil, menjadikan aset bukan dolar menjadi lebih menarik.
“Ini konsisten dengan kesetaraan kadar faedah tidak terlindung, dengan pulangan yang lebih rendah di AS akan mengurangkan insentif untuk mempunyai aset dalam denominasi dolar, sekali gus memberi tekanan menurun terhadap dolar AS,” katanya.
Mohd Sedek berkata perubahan ke arah dasar monetari AS yang lebih longgar boleh juga menyebabkan peralihan modal global kepada aset pasaran sedang pesat membangun yang menawarkan pulangan lebih tinggi, sekali gus menyokong mata wang seperti ringgit.
Pengimbangan semula portfolio ini boleh dipertingkatkan lagi sekiranya keyakinan pelabur semakin baik seiring dengan lebih banyak kejelasan daripada Fed.
“Dalam keadaan ini, peningkatan ringgit pada sekitar 4.15 adalah munasabah, dengan potensi kepada kenaikan selanjutnya.
“Walaupun pergerakan mata wang secara semulajadinya adalah kompleks, dibentuk oleh daya kitaran dan struktur, senario ringgit diniagakan di bawah 4.15 menjelang akhir tahun ini adalah tidak munasabah jika minat risiko global kekal memberangsangkan dan asas makroekonomi Malaysia kekal utuh,” katanya.
Pengeksport Dilihat Berdaya Saing Di Sebalik Pengukuhan Ringgit
Walaupun keuntungan ringgit agak sederhana, Mohd Sedek berkata asas eksport Malaysia pada dasarnya adalah pelbagai dan semakin bersepadu di rantau ini.
Sebilangan besar eksport ke ASEAN, China dan Asia Timur didenominasikan dalam mata wang tempatan atau serantau.
Selain itu, kerajaan Malaysia melalui usaha sama dengan rakan kongsi serantau telah giat menggalakkan mekanisme penyelesaian mata wang tempatan bagi mengurangkan pergantungan kepada dolar AS.
“Ini meminimumkan kesan langsung turun naik MYR-USD terhadap daya saing perdagangan, terutamanya di Asia,” katanya.
Beliau berkata sektor eksport utama Malaysia seperti semikonduktor, minyak sawit, petrokimia dan komponen jentera lebih bersaing berdasarkan nilai tambah, daya tahan rantaian bekalan serta piawaian pematuhan berbanding penentuan harga semata-mata.
Ini memberikan sedikit perlindungan daripada perubahan dalam penentuan harga yang disebabkan oleh mata wang.
Sebagai contoh, eksport elektrik dan elektronik berteknologi tinggi lazimnya kurang sensitif dari segi harga berbanding eksport komoditi, yang membolehkan Malaysia mengekalkan bahagian pasaran walaupun ringgit mengukuh.
Bagaimanapun, beliau menggesa penggubal dasar untuk kekal berwaspada.
Sekiranya ringgit mengukuh terlalu cepat atau ketara, margin keuntungan bagi pengeksport kecil dan sederhana serta pengilang yang mempunyai margin rendah mungkin mengalami tekanan.
“Bagaimanapun, situasi ini akan mewajarkan tindak balas dasar yang bersasar misalnya sokongan fiskal atau alat pengurusan risiko pertukaran asing bukannya pelarasan monetari dengan serta-merta.
“Sehubungan itu, pendekatan dasar yang sesuai adalah berwaspada tetapi tidak secara reaktif bagi memastikan kestabilan makro tidak terjejas dalam usaha untuk mengawal paras mata wang,” katanya. – Bernama