
PADAWAN: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM6.5 juta melalui Agensi Pembangunan Bersepadu Greater Kuching (GKCDA) bagi menaik taraf Kampung Annah Rais sebagai perkampungan warisan budaya Bidayuh dalam usaha memperkukuh pelancongan berasaskan komuniti di kawasan luar bandar.
Perkara tersebut diumumkan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara dan Jalan Raya) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil semasa merasmikan Program Petronas Memacu Kehidupan Gawai 2025 di Kampung Annah Rais hari ini.
Menurut beliau, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada agenda pembangunan bersepadu negeri yang melibatkan sektor pelancongan, kebudayaan dan pertanian di kawasan luar bandar.
“Kampung Annah Rais mempunyai nilai sejarah, budaya dan warisan Bidayuh yang unik. Usaha menaik taraf fasiliti pelancongan di sini bukan sahaja akan memberi manfaat ekonomi kepada penduduk setempat, tetapi juga memartabatkan warisan budaya kita kepada dunia luar,” ujar beliau.
Peruntukan tersebut akan memberi fokus kepada penaiktarafan kemudahan asas pelancongan seperti laluan pelawat, ruang kraf tangan, pusat informasi budaya serta latihan komuniti dalam pengurusan pelancongan.
Kampung Annah Rais, yang terletak kira-kira 48 kilometer dari Kuching, terkenal dengan rumah panjang tradisional Bidayuh, kolam air panas dan keunikan adat resam yang masih diamalkan oleh penduduk.
Dalam majlis sama, seramai 200 keluarga kurang berkemampuan dari sekitar Daerah Kecil Padawan menerima sumbangan bakul makanan sempena sambutan Gawai Dayak 2025, menerusi program kebajikan anjuran Yayasan Petronas dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Kuching dan Pejabat Daerah Kecil Padawan.
Pengurus Besar Petronas Sarawak, Norazibah Md Rabu memaklumkan bahawa seramai 585 keluarga di seluruh negeri menerima manfaat program ini tahun ini.
-UKAS