
JOHOR BAHRU: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mencipta sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya menyertai Anugerah Rosa Sinensis anjuran Jabatan Landskap Negara sempena sambutan Hari Landskap Negara 2025 dan berjaya merangkul anugerah berprestij tersebut hari ini.
DBKU menghantar dua penyertaan di bawah kategori taman awam iaitu Taman Perpaduan, Petra Jaya dan Taman Botani Sarawak yang masing-masing menampilkan reka bentuk landskap berfungsi, mesra alam serta mencerminkan identiti tempatan.
Daripada dua penyertaan itu, Taman Botani Sarawak telah dipilih sebagai penerima Anugerah Rosa Sinensis 2025.
Dalam pada itu, DBKU diwakili Pengarahnya, Ramzi Abdillah bagi menerima anugerah berkenaan.
Kejayaan ini membuktikan komitmen DBKU dalam memperkasa pembangunan landskap berkualiti sekali gus menjadi pemangkin ke arah bandaraya hijau, lestari dan harmoni sejajar aspirasi Malaysia MADANI dan Dasar Landskap Negara 2020-2030.

Daripada 25 permohonan yang diterima, hanya lima organisasi telah dipilih menerima anugerah tersebut iaitu DBKU, Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Majlis Daerah Maran, 101 Properties Sdn Bhd dan Setia Frontainer Sdn Bhd.
Selain itu, Anugerah Rosa Sinensis merupakan platform pengiktirafan kepada organisasi, agensi, komuniti dan individu yang menunjukkan kecemerlangan dalam pembangunan, pengurusan serta penyelenggaraan landskap negara.
Sehubungan itu, ia juga menggalakkan reka bentuk inovatif, penyelenggaraan mampan serta penggunaan elemen hijau tempatan dalam landskap.
Penyampaian anugerah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zulkeflee Sulaiman dalam majlis yang diadakan di Pasir Gudang, Johor Bahru sempena sambutan Hari Landskap Negara 2025.