
KELANA JAYA: Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi hadir meraikan pasangan Raja Sehari, Ahmed Faqi Jamaluddin dan pilihan hatinya, Nur Sabrina Fatin Muhammad Azahar dalam satu majlis penuh meriah yang berlangsung di Dewan Sri Kenangan Kastam tengah hari tadi.
Ketibaan Toh Puan Fauziah disambut mesra oleh ibu bapa pengantin lelaki, Jamaluddin Zainal Abidin dan isteri, Eda @ Aidah Abd Kadir bersama ahli keluarga serta sahabat handai.

Sejurus ketibaan Toh Puan Fauziah menerima jambangan bunga daripada Sofia yang mewakili seluruh ahli keluarga bagi mengalu-alukan kehadiran beliau ke majlis yang berlangsung dengan penuh kasih sayang.
Seterusnya, Toh Puan Fauziah menyampaikan hadiah perkahwinan kepada Eda @ Aidah Abd Kadir, ibu kepada pengantin lelaki sebagai tanda ingatan dan penghargaan buat kedua-dua mempelai.
Acara dimulakan dengan pasangan pengantin melangkah masuk ke dewan diiringi selawat Rasulullah SAW.

Toh Puan Fauziah naik ke pelamin untuk merenjis air mawar sebagai simbolik restu dan penyatuan, dengan setiap renjisan membawa doa dan senyuman yang membawa harapan agar cinta ini harum mekar selamanya.
Seterusnya, beliau merakam gambar kenang-kenangan bersama pasangan pengantin, ibu bapa pengantin lelaki dan perempuan di pelamin, dengan doa dan harapan semoga perkahwinan yang dibina ini dilimpahi keberkatan, dikurniakan keharmonian serta kekal rukun selamanya.
Sebelum pulang, beliau sempat meluangkan masa beramah mesra, berswafoto serta bersalaman dengan rakan-rakan sejawat beliau semasa berkhidmat bersama Malaysia Airlines yang turut hadir memeriahkan majlis tersebut.