
SIBU: Permainan tradisional masyarakat Melanau yang dikenali sebagai Itut kini semakin mendapat perhatian umum sejak mula diperkenalkan secara rasmi menerusi penganjuran Festival Kebudayaan Borneo (BCF) pada 2015.
Pengerusi penganjur permainan Itut BCF 2025, Kaunselor Abg Carrol Abg Dris, berkata permainan tradisional Itut telah menjadi salah satu tarikan utama dan simbolik kepada penganjuran BCF, termasuk edisi tahun ini yang akan berlangsung dari 4 hingga 12 Julai ini.
“Sebelum ini, permainan Itut memang telah wujud namun bukan di bawah nama BCF. Ia dianjurkan secara tidak tetap dan menggunakan nama lain.
“Sejak Itut diperkenalkan secara rasmi dalam BCF pada tahun 2015, ia diadakan setiap tahun. Jadi, apabila orang nampak struktur permainan Itut didirikan, mereka akan tahu BCF sudah bermula. Itulah keistimewaan permainan Itut,” katanya kepada pemberita selepas kerja-kerja mendirikan struktur permainan itu di tapak BCF 2025, Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa, hari ini.

Menurut beliau, permainan Itut tidak dianjurkan pada tahun 2020 hingga 2022 disebabkan pandemik COVID-19, namun ia kembali mendapat tempat dalam BCF sejak tahun 2023.
“Untuk edisi BCF tahun ini, permainan Itut akan dibuka secara percuma kepada orang ramai yang ingin merasai sendiri pengalaman unik permainan ini. Ia akan berlangsung dari 4 hingga 12 Julai, bermula 7.00 malam hingga 11.00 malam setiap hari,” jelasnya.
Mengulas mengenai sambutan orang ramai, beliau memaklumkan bahawa permainan Itut menerima sambutan yang amat menggalakkan pada tahun lalu.
“Tahun ini, kita mensasarkan jumlah peserta melebihi 1,000 orang,” katanya.
Tambah beliau, aspek keselamatan pemain amat diutamakan oleh pihak penganjur.
“Mereka yang mempunyai masalah tekanan darah tinggi yang serius, fobia pada ketinggian atau berada di bawah pengaruh alkohol tidak dibenarkan menyertai permainan ini demi keselamatan semua pihak,” tegasnya.
Oleh Akun Giman