
SARATOK: Sebuah gelanggang badminton bakal dibina di Saratok apabila projek tersebut telah disenaraikan dalam Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata melalui prasarana sukan yang baik termasuk menaik taraf Mini Stadium, maka setiap sesi latihan dapat dijalankan oleh peminat semua jenis sukan pilihan mereka termasuklah badminton apabila ia siap nanti.
“Saya akan terus komited dengan memberikan komitmen tinggi bagi semua jenis sukan termasuk badminton, sepak takraw, basikal, tenis, petanque, tinju, pangkah gasing, futsal, bola keranjang, bola tampar dan sebagainya untuk mencungkil bakat-bakat baharu pemain dari kawasan DUN Kalaka untuk diketengahkan ke peringkat tertinggi.
“Kecemerlangan berterusan anak-anak dari Daerah Saratok dalam bidang sukan, impian menjadikan daerah ini sebagai ‘kilang’ atau pengeluar atlet atau pemain-pemain muda berbakat akan tercapai.
“Dengan pelbagai kemudahan sukan disediakan kerajaan kepada atlet adalah sebagai satu kemudahan untuk mereka terus berlatih sekali gus memartabatkan bidang sukan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Pertandingan Badminton bersempena dengan penganjuran Pesta Saratok 2025 Terutup Betong dan Sri Aman bertempat di Dewan Masyarakat Sri Krian dekat sini hari ini.
Pertandingan Badminton Tertutup Sri Aman dan Betong adalah merupakan salah satu daripada 21 program pengisian bereempena penganjuran Pesta Saratok 2025 yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat ADUN Kalaka.
Pengerusi Kelab Badminton WFC, Wong Hui Ching berkata sebanyak 12 pasukan lelaki dan 15 pasukan wanita telah mengambil bahagian yang terdiri daripada pasukan tempatan selain daripada pasukan dari luar daerah Saratok iaitu dari Betong dan Sri Aman telah menyertainya.
Hadiah yang menarik menunggu pemenang dimana Johan Berpasukan Lelaki akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,500, naib johan RM800, ketiga bersama RM400 dan bagi kategori wanita johan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM500, naib johan RM300 dan ketiga bersama RM100.
Untuk program lain sempena Pesta Saratok 2025, Pertandingan Pangkah Gasing Kalaka telah bermula Khamis lalu dan berakhir esok yang diadakan di Gelanggang Gasing Kenyalang.
Oleh Adi Safarman