Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Lampu jalan baharu terangi Kampung Merdang Lumut, perkukuh keselamatan
  • WILAYAH

Lampu jalan baharu terangi Kampung Merdang Lumut, perkukuh keselamatan

Utusan Sarawak 9 hours ago
DATUK Rubiah Wang menyampaikan ucapannya pada Majlis Penyerahan Projek Lampu Jalan Kampung (LJK) Fasa 8 di Dewan Serbaguna Merdang Lumut, di sini, hari ini. Foto: Norman B

KOTA SAMARAHAN: Dahulu gelap dan sunyi, kini bersinar dan hidup; begitulah wajah baharu kampung luar bandar Sarawak apabila Program Pemasangan Lampu Jalan Kampung (LJK) Fasa 8, yang dilancarkan di Dewan Kampung Merdang Lumut, mula menerangi setiap lorong dan simpang, menzahirkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memupuk keselamatan, kecantikan, dan keceriaan malam kampung.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang menegaskan bahawa inisiatif LJK merupakan bukti komitmen kerajaan dalam mencahayakan kawasan kampung agar kegiatan ekonomi, sosial dan riadah dapat dijalankan dalam suasana yang selesa dan selamat.

“Sehingga Fasa 8 ini, sebanyak 57,327 unit LJK telah dipasang di seluruh Sarawak melibatkan 47,237 unit jenis HPSV dan 10,090 unit LED. Ini adalah satu pencapaian yang amat membanggakan dan menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk memastikan rakyat luar bandar turut menikmati pembangunan infrastruktur yang berkualiti,” katanya.

Tambah beliau, di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) sehingga tahun 2025, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM2.5 bilion bagi pembangunan di Wilayah Sarawak termasuk projek di bawah Program Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB), Jalan Luar Bandar (JALB), Bekalan Air Luar Bandar (BALB) serta Program Ameniti Sosial (PAMS).

LAMPU LED 7W 240v CCT3500K. Foto Facebook Rubiah Wang

“Daripada jumlah itu, Program LJK sahaja telah menerima peruntukan sebanyak RM10.5 juta, di mana projek ini dilaksanakan secara rundingan terus (reka dan bina) oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) dan dikendalikan oleh Bahagian Teknikal Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW). Kos operasi dan penyelenggaraan turut ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan secara berterusan,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pelaksanaan projek LJK ini bermula sejak tahun 2002 melalui kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan negeri, dengan keutamaan pemasangan diberikan di kawasan strategik seperti balai raya, rumah ibadat dan persimpangan jalan utama kampung.

DATUK Rubiah Wang, Dato Sri Julaihi Narawi dan tetamu kehormat yang lain menunjuk ke arah lampu jalan kampung LED di jalan Kampung Merdang Lumut, di sini, hari ini. Foto Facebook Rubiah Wang

“Dahulu, kawasan kampung sering gelap pada waktu malam dan ini menimbulkan kebimbangan dari aspek keselamatan serta menyukarkan pergerakan. Kini, dengan adanya lampu jalan ini, kampung menjadi lebih terang, ceria dan selamat. Ia bukan sahaja memudahkan urusan harian seperti ke surau dan kedai, malah turut mengurangkan risiko kemalangan dan insya-Allah dapat membendung kegiatan jenayah,” katanya lagi.

Menurut beliau, bermula dengan Fasa 1 yang hanya melibatkan 5,783 unit, kini jumlah itu telah meningkat secara signifikan kepada 57,327 unit. Katanya, Kerajaan Persekutuan kini menanggung kos bulanan melebihi RM600,000 bagi Sarawak sahaja, dan sekitar RM11 juta bagi seluruh negara.

Majlis yang turut dihadiri oleh ketua-ketua masyarakat dan penduduk setempat itu mencerminkan sokongan padu rakyat terhadap usaha kerajaan dalam menerangi dan memperindah kampung-kampung luar bandar.

Oleh Norman B

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Pengerusi MDLBS komited terus berkhidmat walau tempoh hampir tamat
Next: Rumah roboh dipukul ombak, JPS diminta ambil langkah segera

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.