Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Kehadiran Messi igauan buat PSG
  • SUKAN

Kehadiran Messi igauan buat PSG

Utusan Sarawak 10 hours ago

Adakah Lionel Messi (kanan) dan rakan sepasukannya akan bergembira meraikan kemenangan menentang bekas kelabnya PSG pada pusingan 16 terakhir Piala Dunia Kelab FIFA di Atlanta tengah malam esok perlu tunggu dan lihat. – Foto AFP

ATLANTA, Amerika Syarikat: Paris Saint-Germain (PSG) hadir ke Piala Dunia Kelab sebagai juara baharu Eropah, namun pertembungan menentang Inter Miami diketuai Lionel Messi pada pusingan 16 terakhir tengah malam esok turut mengingatkan mereka kepada episod yang kurang manis bersama legenda Argentina itu.

PSG melakar sejarah memenangi Liga Juara-Juara UEFA buat kali pertama selepas membelasah Inter Milan 5-0 di Munich hujung bulan lalu, mengakhiri musim yang luar biasa di bawah kendalian Luis Enrique.

Kejayaan itu hadir sebaik sahaja PSG meninggalkan pendekatan memburu pemain bintang dan mula memberi ruang kepada jurulatih berkualiti menguruskan skuad muda yang laparkan kejayaan.

Selepas Kylian Mbappe berpindah ke Real Madrid setahun lalu, diikuti Neymar dan Messi yang keluar pada musim panas 2023 – musim pertama kendalian Enrique – PSG mula membentuk semula pasukan dengan lebih seimbang.

Ketika Messi tiba di Paris pada Ogos 2021, selepas Barcelona tidak mampu lagi mengekalkannya, ramai menyangka dia adalah kepingan terakhir yang mampu menghadiahkan PSG gelaran Eropah idaman mereka.

Messi sendiri berkata ketika itu: “Impian saya adalah untuk memenangi satu lagi Liga Juara-Juara dan saya rasa saya berada di tempat terbaik untuk melakukannya.”

Namun segala-galanya tidak berakhir seperti dirancang.

PSG yang sebelum ketibaan Messi pernah mara ke final dan separuh akhir, sebaliknya tersingkir pada pusingan 16 terakhir dua musim berturut-turut bersamanya.

Percubaan menyatukan Messi, Neymar dan Mbappe memang menaikkan nilai komersial kelab, tetapi merosakkan keseimbangan pasukan di tengah padang.

Messi malah pernah diejek oleh segelintir penyokong PSG yang mempersoalkan komitmennya, walaupun statistiknya tidak boleh disangkal dengan 32 gol dan 35 bantuan jaringan dalam 75 penampilan, serta membantu PSG memenangi dua gelaran Ligue 1.

Takdir mempertemukan aksi pusingan 16 terakhir dengan PSG tengah malam esok di Atlanta, di stadium yang sama bila mana dia menjaringkan sepakan percuma memukau untuk memastikan kemenangan 2-1 ke atas FC Porto minggu lalu.

“Belum terampun,” kata muka depan L’Equipe di Perancis semalam ketika menggambarkan perasaan “kegagalan dan kepahitan” yang ditinggalkan sepanjang tempoh Messi di kota Paris.

Sementara itu, jurulatih Miami Javier Mascherano percaya kenangan tidak ceria sepanjang masanya di Paris boleh mendorong Messi untuk beraksi lebih baik.

“Jelas bagi kami lebih baik jika dia bermain dalam keadaan marah, kerana dia salah seorang pemain yang, apabila ada sesuatu di fikirannya, akan berusaha lebih lagi,” kata Mascherano kepada ESPN.

Ironinya, Messi yang menyinari pentas Piala Dunia bersama Argentina pada 2022 hanya mempamerkan kilauan bakatnya secara berselang-seli di peringkat kelab.

Kini ketika PSG mahu menambah gelaran dunia selepas menawan Eropah, tidak mustahil mereka akan lebih terluka sekiranya Messi – beberapa hari selepas menyambut ulang tahun ke-38 – berjaya menyingkirkan bekas kelabnya tengah malam esok. – AFP

Continue Reading

Previous: Pupuk gaya hidup sihat dalam kalangan penjawat awam
Next: Gelanggang Badminton baharu bakal dibina di Saratok di bawah RTP 2026

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.