
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberitahu bahawa permulaan penularan COVID-19 masih belum berjaya dirungkai dan mungkin menjadi asas utama bagi mengekang wabak itu.
Pertubuhan itu berkata pihaknya belum mencapai kesimpulan akibat kekurangan maklumat penting, walaupun sudah menjalankan siasatan selama empat tahun.
WHO menganggarkan bencana global itu meragut kira-kira 20 juta nyawa, di samping melumpuhkan ekonomi, sistem kesihatan, dan menggoncang kehidupan manusia di seluruh dunia.
Kes pertama dikesan di Wuhan, China pada akhir 2019 dan memahami dari mana datangnya virus SARS-CoV-2 adalah kunci dalam usaha mencegah pandemik itu di masa depan.
Namun, agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menegaskan bahawa tanpa data lanjut, asal-usul COVID-19 dan bagaimana ia mula tersebar kekal sebagai persoalan yang belum terjawab.
Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, buat masa ini, semua hipotesis mesti kekal terbuka, termasuk penularan zoonotik dan kebocoran makmal.
Laporan awal WHO-China pada Mac 2021 menyimpulkan bahawa virus itu kemungkinan besar berpindah dari kelawar kepada manusia melalui haiwan perantara.
Ia menilai kebocoran dari makmal virologi di Wuhan yang terkenal dengan penyelidikan coronavirus dan menyifatkannya sebagai ‘amat tidak mungkin’.
Namun, siasatan itu dikritik hebat kerana kurang ketelusan, akses terhad, dan kegagalan menilai teori kebocoran makmal secara serius.
Dr Tedros kemudian melancarkan siasatan baharu dengan menubuhkan Scientific Advisory Group for the Origins of Novel Pathogens (SAGO), terdiri daripada 27 pakar antarabangsa, pada Julai 2021.
Laporan setebal 78 muka surat itu kemudian diterbitkan semalam.
Ia menyatakan bahawa bukti sedia ada lebih memihak kepada teori penularan daripada haiwan sama ada secara langsung dari kelawar, atau melalui haiwan perantara.
Laporan itu tidak dapat mengesahkan dengan pasti di mana dan bila kejadian itu berlaku, atau sama ada pasar basah Wuhan adalah lokasi pertama virus itu menjangkiti manusia.
Bagaimanapun, pasar itu menjadi lokasi pengukuhan penularan jangkitan dalam kalangan manusia, yang membawa kepada penularan meluas secara global.
“Tiada bukti jangkitan atau kes yang meluas di negara lain sebelum Disember 2019,” tambah laporan itu.
Pakar-pakar turut memohon maklumat yang belum diterbitkan negara lain, terutamanya Jerman dan Amerika Syarikat (AS), namun tidak berjaya.
Awal minggu ini, seorang ahli SAGO meletak jawatan dan tiga yang lain meminta nama mereka dikeluarkan daripada laporan.
Dr Tedros berkata, mereka banyak belajar mengenai COVID-19 dalam lima tahun kebelakangan ini.
“Namun, masih ada satu persoalan penting yang belum kita jawab: bagaimana pandemik ini bermula,” katanya. – AFP