
KUCHING: Karnival Sukan MySED 2025 bukan sekadar gelanggang pertandingan, malah menjadi wadah menyemai budaya hidup sihat dan mempererat ukhuwah dalam kalangan warga kerja agensi di bawah Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MySED).
Majlis perasmian karnival yang disempurnakan oleh Setiausaha Tetap MySED, Morshidi Frederick, yang menyifatkan penganjuran ini sebagai titik tolak kepada pembentukan masyarakat yang aktif dan prihatin terhadap kesihatan diri.
“Saya membayangkan suatu hari nanti, setiap hujung minggu kita dapat berkumpul dan menjalankan aktiviti santai bersama seperti berjalan kaki atau berjoging tanpa memerlukan belanja besar.
“Mungkin MySED, Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) boleh mulakan aktiviti seperti ini secara berkala, sama ada di Tebingan Sungai Kuching ataupun lokasi lain mengikut zon masing-masing,” katanya ketika berucap pada majlis itu di Perkampungan Sukan Sarawak, hari ini.
Menurut beliau, sukan bukan sahaja memperkuatkan fizikal dan minda, malah turut membentuk jati diri serta semangat berpasukan yang tinggi.
Timbalan Setiausaha Tetap MySED, Dolhadi Mazuki, dalam pada itu menjelaskan, karnival yang berlangsung dari 27 hingga 29 Jun tersebut dianjurkan dengan kerjasama SSC dan MSNS.
“Matlamat utama penganjuran ini adalah untuk memperkenal serta memperkukuh dasar dan program kementerian, selain mencungkil bakat sukan baharu serta memupuk semangat kesatuan dalam kalangan warga kerja menerusi semangat kesukanan,” katanya.
Karnival melibatkan penyertaan empat pasukan mewakili zon masing-masing iaitu Kras Panthers (Zon Selatan), KMSS Midforce (Zon Tengah), Northern Crocs (Zon Utara), dan Hornbill X-Troopers yang mewakili gabungan SSC dan MSNS.
Oleh Amanda L.