
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka diniagakan berhati-hati minggu depan, namun dengan kecenderungan meningkat berikutan sentimen pasaran yang konstruktif ketika pelabur mengalihkan tumpuan mereka daripada risiko di Timur Tengah, menurut penganalisis.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes yakin pelabur akan tertumpu untuk menilai data makroekonomi yang akan dikeluarkan sambil menunggu tempoh akhir bagi penangguhan tarif balas Amerika Syarikat.
“Bagaimanapun, kemungkinan untuk tempoh penangguhan ini dilanjutkan semakin meningkat berikutan gangguan geopolitik terbaru,” katanya kepada Bernama sambil memaklumkan sentimen pasaran turut disokong oleh potensi penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan dalam mesyuarat pada Julai ini.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng mengekalkan pandangan optimis namun berhati-hati terhadap prospek jangka pendek FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berikutan indeks berkenaan menunjukkan isyarat momentum kenaikan.
“Kami yakin pencapaian melepasi paras 1,530, disokong oleh jumlah dagangan yang kukuh dan pergerakan harga yang berterusan akan menjadi isyarat konstruktif bahawa pasaran bersedia untuk meneruskan kenaikan seterusnya,” katanya.
Pada minggu hadapan, Thong yakin tumpuan pasaran akan terarah kepada beberapa pengumuman data makroekonomi utama di peringkat tempatan dan antarabangsa.
“Dalam masa terdekat, kami menjangkakan FBM KLCI akan didagangkan dalam julat 1,510 hingga 1,540,” katanya.
Pada asas mingguan, indeks barometer meningkat 25.42 mata kepada 1,528.16 daripada 1,502.74 pada minggu sebelumnya.
Indeks FBM Emas naik 169.81 mata kepada 11,398.80, Indeks FBMT 100 menokok 165.91 mata kepada 11,181.36, dan Indeks FBM Emas Shariah naik 139.79 mata kepada 11,341.13.
Indeks FBM 70 meningkat 152.91 mata kepada 16,270.66 dan Indeks FBM ACE naik 73.91 mata kepada 4,474.76.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 268.72 mata kepada 17,737.10, Indeks Perladangan melonjak 108.50 mata kepada 7,329.02, Indeks Penjagaan Kesihatan meningkat 17.70 mata kepada 1,709.59, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 4.71 mata kepada 151.98.
Bagaimanapun, Indeks Tenaga susut sebanyak 3.03 mata kepada 732.68.
Jumlah dagangan bagi minggu dagangan singkat ini berkurangan kepada 11.68 bilion unit bernilai RM8.45 bilion daripada 13.72 bilion unit bernilai RM10.84 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 5.40 bilion unit bernilai RM7.39 bilion berbanding 6.29 bilion unit bernilai RM9.63 bilion sebelumnya.
Jumlah dagangan waran merosot kepada 4.96 bilion unit bernilai RM655.61 juta berbanding 6.16 bilion unit bernilai RM845.61 juta minggu lepas.
Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 1.07 bilion unit bernilai RM399.48 juta berbanding 1.25 bilion unit bernilai RM361.21 juta pada minggu sebelumnya.– Bernama