
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap mengkritik keras kenyataan terkini Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar yang menggesa agar pengukuran tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Sarawak dipercepatkan.
Beliau menyifatkan kenyataan tersebut sebagai langkah yang sia-sia, walaupun Pakatan Harapan (PH) kini berada dalam kerajaan Persekutuan.
“Kelihatan tidak ikhlas apabila ahli politik dariSemenanjung bercakap seolah-olah mereka hanya pemerhati, sedangkan PH adalah sebahagian daripada kerajaan. Jika mereka benar-benar komited kepada Sarawak,buktikan melalui tindakan, bukan sekadar janji manis,” kata Wilfred Yap.
Menurut beliau, rakyat Sarawak sudah lama melihat janji-janji yang tidak ditepati daripada pemimpin Persekutuan dan kini mahukan hasil nyata, bukan retorik yang dikitar semula.
“Kita mendengar suara tentang menghormati hak Sarawak. Namun, peruntukan Kerajaan Persekutuan masih tidak mencerminkan keadilan sebenar,” tambahnya.
Yap menggesa PH menunjukkan komitmen sebenar dengan memperuntukkan sekurang-kurangnya satu pertiga daripada belanjawan pembangunanpersekutuan kepada Sabah dan Sarawak, sejajar dengan sumbangan dan hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kenyataan semata-mata tidak akan meyakinkan rakyat Sarawak. Kami mahu melihat peruntukan sebenar, pelaburan konkrit dan dasar yang menegakkan autonomi kami. Itulah ujian sebenar keikhlasan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan rakyat Sarawak supaya sentiasa berwaspada terhadap tokoh politik yang hanya menunjukkan minat terhadap Sarawak apabila sesuai dengan agenda politik mereka.
“Rakyat Sarawak tidak mudah terpengaruh dengan kenyataanbersifat oportunis. Kami tahu siapa yang benar-benar bersama kami yang bekerja di lapangan, menghormati undang-undang tempatan dan berinteraksi lebih daripada sekadar sidang media,” tegasnya.
Yap turut menegaskan bahawa undang-undang tanah Sarawak adalah di bawah Kanun Tanah Sarawak dan dilindungi oleh MA63.
“Tanah kami bukan pentas untuk mainan politik. Mereka yang gagal bertindak meskipun mempunyai kuasa tidak wajar memberi arahan kepada kami,” katanya.
Beliau menutup kenyataannya dengan menggesa PH agar membuktikan kesungguhan melalui tindakan, bukan kata-kata kosong.
“Sehingga rakyat Sarawak melihat langkah-langkah sebenar seperti peningkatan peruntukan, pembangunan infrastruktur dan penghormatan terhadap hak kami, kenyataan seperti ini akan terus dianggap sebagai kosong dan bermotif politik,” ujarnya.
Oleh Connie Chieng