
KUCHING: Pertandingan Kreativiti dan Inovasi Antarabangsa Borneo (BICC) 2025 yang berlangsung di Hotel Grand Continental hari ini menyaksikan dua projek hasil ciptaan guru dari Sarawak mencuri perhatian ramai yang berjaya mengangkat aspek pendidikan sains dan kesihatan mental dengan pendekatan baharu yang berkesan dan menyentuh hati.
Guru Biologi dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lake, Chung Sze Meang berjaya mencuri perhatian apabila memperkenalkan ciptaan alat bantu mengajar yang ringkas tetapi berimpak tinggi yang direka khusus untuk membantu pelajar memahami topik pembahagian sel iaitu mitosis dan meiosis.
Menurut Chung, kebanyakan pelajar sukar memahami topik ini apabila diajar menggunakan pendekatan tradisional seperti pengajaran biasa di dalam kelas atau tayangan video.
“Objektif saya adalah untuk menjadikan pembelajaran lebih berkesan dan menyeronokkan. Apabila pelajar sentuh, susun dan lihat sendiri prosesnya, pemahaman mereka meningkat. Ini terbukti apabila keputusan pasca-ujian menunjukkan peningkatan ketara berbanding pra-ujian,” ujar Chung.
Sebagai alternatif, beliau membina satu alat bantu berasaskan interaksi fizikal yang menggunakan pelekat kait dan gelung, papan inspirasi, dawai dan kertas berwarna yang menggunakan kos RM1.40 sahaja.
Chung yakin bahawa inovasi ini mempunyai potensi pasaran yang luas khususnya untuk kegunaan di sekolah, makmal, guru dan pelajar di seluruh negara.
“Saya percaya ciptaan ini boleh membantu ramai guru lain menjadikan sains lebih mudah difahami dan menarik,” tambah Chung.

Sementara itu, Unit Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Menengah Teknik Sejingkat yang diketuai oleh Tiara Shafira Kamisan dan Masnan Busrah turut memperkenalkan sebuah permainan papan inovatif yang diberi nama “I Love Me”.
Permainan ini direka khas untuk menyokong ekspresi emosi dan membina keyakinan diri dalam kalangan pelajar remaja serta inisiatif ini tercetus selepas pelaksanaan saringan Minda Sihat di sekolah, yang mendapati ramai pelajar memperoleh skor tinggi dalam saringan kemurungan dan kegelisahan.
“Kami mendapati pelajar lebih terbuka apabila diberi ruang yang tidak terlalu formal. Permainan ini bertindak sebagai jambatan antara perasaan yang terpendam dengan keberanian untuk meluahkannya,” jelas mereka.
Sebagai respons kepada situasi ini, permainan “I Love Me” dibangunkan sebagai pendekatan yang lebih santai dan menyeronokkan yang bertujuan membantu pelajar meluahkan emosi, berkongsi pengalaman dan membina kesedaran tentang pentingnya menyayangi diri sendiri, dalam suasana yang tidak formal dan selamat.
Projek ini juga berpotensi untuk diperluaskan ke sekolah lain sebagai sebahagian daripada usaha berterusan dalam memperkukuh sokongan kesihatan mental secara inklusif.
Kedua-dua inovasi ini membuktikan bahawa guru Sarawak bukan sahaja mampu mencipta penyelesaian yang praktikal dan berkesan tetapi juga menyumbang kepada landskap pendidikan yang lebih manusiawi dan menyeluruh.
Oleh Adele Rissa