
KUCHING: Dunia seni kasut dan muzik bergabung menerusi acara istimewa Alta Moda Musical Soiree & Shoe Artisanry Showcase yang akan berlangsung pada Ahad ini di Grand Ballroom, The Waterfront Hotel, Kuching.
Acara tersebut merupakan inisiatif bersama antara Prodigy, sebuah organisasi seni muzik dan persembahan, dan Tradisi Busana, jenama yang memperjuangkan warisan fesyen tempatan.
Ia diterajui oleh Sharnaz Saberi, Pengasas dan Ketua Pengarah Eksekutif Prodigy & WIOE bersama Dodi Mohammad, pengasas Tradisi Busana.
Menurut Sharnaz, acara berprestij itu menampilkan keindahan dua cabang seni muzik dan kasut yang dipersembahkan dalam suasana eksklusif dan penuh estetika, dihadiri oleh peminat seni, penggiat industri kreatif serta tetamu kenamaan dari dalam dan luar Sarawak.

“Bertemakan sinergi industri kreatif, Alta Moda Musical Soiree mengetengahkan aspirasi untuk memperkukuh kolaborasi antara pemuzik, pereka kasut dan artisan muda. Ia sekali gus mewujudkan satu ekosistem budaya kreatif yang dinamik serta saling memperkasa,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak.
Antara sorotan utama acara ialah pelancaran koleksi kasut artisan hasil ciptaan pelajar dan alumni Kursus Sijil Ketukangan Pembuatan Kasut.
Katanya, koleksi tersebut diperagakan menerusi pertunjukan fesyen ringkas yang menyerlahkan kehalusan seni rekaan dan ketelitian buatan tangan tempatan.
Selain itu, katanya, hadirin turut dihidangkan dengan persembahan muzik klasik menyentuh jiwa, termasuk persembahan piano oleh beliau sendiri dan nyanyian lyric baritone oleh Dodi Mohammad.
Persembahan turut diserikan oleh pemuzik daripada Orkestra Prodigy yang mempersembahkan karya klasik pilihan. Orkestra Prodigy yang telah membuat persembahan di Istana negara pada Jun 2022, sekali lagi telah mengharumkan nama Sarawak dengan mengadakan persembahan pada Sidang Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN pada Mei baru-baru ini di Kuala Lumpur dengan sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Industri kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.
Sharnaz yang telah dinobatkan Ikon Belia Negeri Sarawak 2022 menegaskan bahawa acara seumpama ini bukan sekadar pentas seni, tetapi merupakan satu langkah strategik dalam usaha memperkukuh ekosistem ekonomi kreatif negeri.
“Kreativiti tidak mengenal sempadan. Apabila muzik, fesyen dan seni kasut duduk semeja, kita sebenarnya sedang membina masa depan budaya yang lebih kukuh dan berdaya saing,” ujarnya sambil menambah kata bahawa acara tersebut akan dirasmikan oleh
Ketua Pegawai Eksekutif CENTEX Dato Syeed Mohd Hussien Wan Abd Rahman dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali juga akan hadir untuk menyokong inisiatif tersebut.
Katanya, acara ini berlandaskan objektif utama yang menjadi tunjang pelaksanaannya iaitu, meraikan industri kreatif Sarawak dengan menyatukan bakat dalam bidang muzik, seni rekaan kasut melalui kolaborasi seni yang eksklusif.
“Acara ini bertujuan mempersembahkan inovasi dan ketukangan belia Sarawak melalui pelancaran koleksi kasut artisan yang baharu. Kami mahu menekankan kepentingan sinergi antara industri kreatif serta mewujudkan kerjasama seni yang saling memperkasakan dan menyokong antara satu sama lain,” tambah beliau yang merupakan tokoh perantis 2024/2025, perintis kepada Wanita Dalam Ekonomi Kreatif.
Sharnaz turut menegaskan bahawa acara ini adalah platform yang didedikasikan untuk memupuk dan mengangkat industri pembuatan kasut tempatan.
Beliau juga menyatakan bahawa inisiatif Prodigy dengan kolobarasi Tradisi Busana kini mempelbagaikan programnya di luar bidang muzik, termasuk kraf artisan dan pembangunan udaya dan kepimpinanan belia secara kreatif dan holistik.
“Melalui objektif ini, kami bukan sahaja meraikan seni, tetapi membina asas untuk pertumbuhan yang mampan dalam ekosistem kreatif Sarawak,” ujar Sharnaz.