
Mbappe (kanan) dan Brahim Diaz ketika sesi latihan Piala Dunia Kelab
PARIS: Kapten Perancis, Kylian Mbappe memfailkan tuduhan gangguan moral terhadap bekas kelabnya, Paris Saint-Germain (PSG), menurut Pejabat Pendakwa Raya Paris semalam yang turut mengesahkan siasatan sudah pun dibuka berhubung perkara itu.
Mbappe, 26, yang kini bersama juara Eropah, Real Madrid, juga sedang mengambil tindakan undang-undang terhadap PSG untuk menuntut bayaran gaji dan bonus berjumlah 55 juta euro (RM272.70 juta) yang didakwa masih belum dilunaskan.
Dakwaan terbaru Mbappe itu berkaitan dengan layanan yang diterimanya pada awal musim 2023/24, apabila beliau dipaksa menjalani latihan bersama sekumpulan pemain yang cuba disingkirkan oleh kelab itu.
Penyerang prolifik itu percaya dirinyadisisihkan sebagai tekanan selepas enggan menandatangani kontrak baharu bersama PSG.
Keadaan ini dikatakan turut dialami beberapa pemain lain, hingga menyebabkan kesatuan pemain Perancis (UNFP) membuat aduan rasmi tahun lalu.
Mbappe turut tidak disenaraikan dalam skuad pramusim kelab ke Asia pada 2023, selain terlepas perlawanan pertama musim.
Namun, dia kemudian kembali ke pasukan utama selepas mengadakan perbincangan lanjut dengan pengurusan kelab.
Penyerang sensasi itu meninggalkan PSG musim panas lalu selepas tujuh musim beraksi di Parc des Princes, di mana dirinya menjaringkan 256 gol dalam 308 perlawanan. – AFP