
LAWAS: Kerajaan Sarawak terus komited dalam memastikan sumber alam semula jadi negeri ini dilindungi dan dimanfaatkan secara lestari untuk generasi akan datang serta memperkasakan pelaksanaan ekonomi biru di Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang diwakili Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu Projek Tukun Tiruan Sarawak Fasa 1 telah bermula sejak tahun 2018 dengan kajian awal menunjukkan hasil yang memberangsangkan dari segi pemulihan ekosistem marin, perlindungan habitat dan peningkatan stok ikan di kawasan sasaran.
Beliau menyatakan demikian pada majlis pelancaran Projek Tukun Tiruan Sarawak Fasa 2 di Kampung Awat-awat yang dianjur Perbadanan Perhutanan (SFC) hari ini.
“Sekarang kita berada di peringkat akhir Projek Tukun Tiruan Fasa 2 dengan sejumlah 300 unit ditanam di dalam enam kluster untuk peranti pengumpul ikan (FAD).
“Pada tahun 2019, terdapat enam FAD telah diwujudkan dari Bukit Sari sehingga ke Punang yang menjadikan 12 lokasi memancing secara keseluruhan di perairan laut Lawas. Ia adalah sebahagian dari kesinambungan koridor terumbu tukun tiruan di sepanjang pesisir pantai Sarawak,” katanya.

Pada tahun 2022, kerajaan Sarawak telah mendapat pengiktirafan oleh Kumpulan Pembangunan Tukun Tiruan yang berpangkalan di Amerika Syarikat kerana telah berjaya menanam tukun tiruan terpanjang di dunia iaitu 746 kilometer.
Pelaksanaan projek ini menyokong agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya SDG 14: Hidupan di Bawah Air serta komited mencapai beberapa matlamat atau targets di dalam the Kerangka Global Kepelbagaian Biologi Kunming-Montreal (GBF) terutamanya untuk merancang dan mengurus semua kawasan bagi mengurangkan kehilangan biodversiti.
Pelaksanaan projek ini selaras dengan Pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), di mana kelestarian alam sekitar merupakan salah satu komponen utama dalam membangunkan ekonomi hijau dan biru Sarawak.
Selain itu, perancangan teliti dan mengambil kira semua aspek terutama mempastikan Pelan Pengurusan Alam Sekitar dijalankan mengikut terma dan syarat serta dipantau mengikut secara berkala mengikut jadual akan dapat membuatkan pembangunan persisiran pantai di Sarawak dapat dilaksanakan dengan lancar.
Penerbitan Pelan Induk Biodiversiti Sarawak yang telah dilancarkan oleh Premier Sarawak pada April lepas membuktikan kerajaan Sarawak serius dalam pendekatan mengintegrasikan aspek polisi pemuliharaan biodiversiti secara lestari dalam pelbagai sektor pembangunan di negeri ini.
“Projek tukun tiruan ini memberi manfaat langsung kepada rakyat termasuk peningkatan hasil tangkapan ikan melalui pemulihan habitat pembiakan spesies komersial serta membuka peluang ekonomi baharu melalui sektor pelancongan berasaskan alam semula jadi,” ujarnya.
Oleh Adeng Edrus