
MIRI: Kuala Baram Cycling Race 4.0 (KBCR 4.0) akan kembali mewarnai landskap sukan berbasikal di Miri pada 5 dan 6 Julai depan, bukan sekadar perlumbaan kompetitif, tetapi sebagai simbol perpaduan, gaya hidup sihat dan persahabatan rentas negara.
Timbalan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam menyokong penganjuran acara yang kini memasuki edisi keempat.
“KBCR 4.0 bukan sekadar acara sukan, ia adalah platform yang menggalakkan gaya hidup sihat, memperkukuh hubungan masyarakat, dan merapatkan hubungan antara negara melalui penyertaan antarabangsa,” katanya dalam sidang media di Dewan Bandaraya Miri, hari ini.
Acara tahun ini akan menampilkan dua kategori utama iaitu Team Time Trial sejauh 22 kilometer dan Road Race sejauh 111 kilometer, melalui laluan pesisir pantai, Lebuh Raya Pan Borneo, serta kawasan bandar dan luar bandar di sekitar Miri.
Sebanyak 632 pelumba telah mengesahkan penyertaan, termasuk dari tujuh negara iaitu Brunei, Filipina, Singapura, Afrika Selatan, Indonesia, United Kingdom dan New Zealand.
Selain itu, peserta turut datang dari lapan negeri di Malaysia dan sebelas daerah di Sarawak, menjadikan KBCR 4.0 sebagai antara acara berbasikal terbesar di rantau ini.
Oleh Adum Liu