
MIRI: Sebanyak 57 notis saman telah dikeluarkan dalam satu Operasi Bersepadu yang dijalankan di Jalan Miri-Bintulu, semalam.
Daripada jumlah tersebut, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan 27 notis saman, manakala Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 30 notis saman atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurut kenyataan JPJ, operasi tersebut dijalankan secara bersama antara Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri dan JPJ Cawangan Miri.
Operasi bermula pada 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari, melibatkan seramai 14 anggota penguatkuasa, terdiri daripada enam anggota polis trafik dan lapan anggota JPJ Miri.
“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 120 kenderaan telah diperiksa.
“Hasil pemeriksaan, PDRM mengeluarkan 27 saman manakala JPJ mengeluarkan 30 saman atas pelbagai kesalahan melibatkan pematuhan undang-undang jalan raya,” jelasnya.
Tambahnya, operasi berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini dan cuaca juga baik sepanjang tempoh penugasan.
JPJ turut menzahirkan penghargaan kepada PDRM atas kerjasama strategik yang dijalinkan dalam memastikan keselamatan jalan raya dan pematuhan undang-undang terus diperkukuh.
Oleh Adum Liu