Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Korban dunia raih syurga
  • RENCANA

Korban dunia raih syurga

Utusan Sarawak 3 weeks ago
ORANG ramai turut memeriahkan Program Jualan Agro Madani Edisi Jelajah Pulau Pinang yang berlangsung di Ibu Pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Bandar Baru Selayang, hari ini. Foto BERNAMA

DALAM kesibukan kehidupan dunia yang penuh dengan hiburan, kemewahan dan keselesaan sementara, manusia sering terlupa bahawa dunia ini hanyalah tempat persinggahan sebelum menuju kehidupan yang kekal di akhirat.

Konsep ‘korban dunia raih syurga’ membawa pengertian yang mendalam dalam ajaran Islam. Ia mengajak manusia untuk mengutamakan akhirat dengan sanggup berkorban demi meraih redha Allah SWT.

Pengorbanan ini merangkumi segala aspek kehidupan termasuk harta, masa, tenaga, perasaan dan paling utama adalah pengorbanan dalam menundukkan nafsu.

Nafsu merupakan salah satu ujian terbesar yang diletakkan dalam diri setiap manusia. Ia merupakan dorongan batin yang mendorong seseorang kepada kehendak-kehendak duniawi seperti keinginan kepada harta, kekuasaan, pujian, makanan dan hubungan fizikal.

Nafsu tidaklah buruk secara mutlak, bahkan ia menjadi sumber tenaga dan motivasi manusia.

Namun, apabila tidak dikawal dan dibiarkan menguasai diri, ia menjadi punca kepada kejatuhan akhlak dan kehancuran iman.

Malah, menundukkan nafsu merupakan satu bentuk pengorbanan yang sangat besar, bahkan ia diiktiraf oleh Allah SWT sebagai ciri utama golongan yang layak memasuki syurga. 

Dalam surah An-Naziat ayat 40 hingga 41, Allah SWT berfirman bahawa sesiapa yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri daripada kehendak hawa nafsunya, maka syurgalah balasannya.

Ini jelas membuktikan bahawa pengorbanan melawan nafsu adalah jalan yang terus menuju ke syurga.

Dalam ayat lain, surah Yusuf ayat 53, Allah SWT berfirman: “Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” 

Allah SWT menyatakan bahawa nafsu itu sentiasa menyuruh kepada kejahatan kecuali mereka yang diberi rahmat oleh Allah SWT.

Hal ini menjelaskan betapa kuatnya pengaruh nafsu dan betapa perlunya usaha untuk mengawalnya agar tidak terjerumus ke dalam dosa. 

Mujahadah melawan nafsu 

Menundukkan nafsu memerlukan mujahadah atau perjuangan yang konsisten dan ikhlas. Antara cara menundukkan nafsu termasuklah berpuasa, kerana puasa mengajar kita menahan diri daripada perkara halal pada waktu tertentu, apatah lagi perkara haram.

Solat malam juga menjadi latihan rohani untuk membersihkan hati dan menguatkan hubungan dengan Allah.

Berzikir, membaca al-Quran, menghadiri majlis ilmu, dan bersahabat dengan orang yang soleh adalah kaedah lain yang membantu menundukkan nafsu secara berterusan.

Semua ini merupakan bentuk pengorbanan yang sangat bernilai kerana ia menuntut ketabahan melawan kehendak diri yang mendalam.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Ankabut ayat 69: “Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh (bermujahadan) kerana (mencari keredaan) Kami, sesungguhnya Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar bersama orang-orang yang berbuat baik.” 

Ganjaran bagi mereka yang berjaya mengawal nafsu amatlah besar. Dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda: “Syurga itu dikelilingi dengan perkara-perkara yang tidak disukai (oleh nafsu), dan neraka itu dikelilingi dengan perkara-perkara yang disukai (oleh nafsu).”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Setiap pengorbanan yang dilakukan haruslah untuk mengejar redha Allah SWT dan bukan untuk pujian manusia semata-mata.

Ia merupakan bentuk keimanan yang sejati dan bukti bahawa seseorang itu telah meletakkan akhirat di hadapan dunia.

Bersesuaian dengan firman Allah SWT: “Setiap yang bernyawa akan merasai mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah akan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya dia telah berjaya. Dan kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdaya.” (surah al-Imran ayat 185) 

Ulama besar dari kalangan para sahabat

SAIDINA Uthman bin Affan termasuk salah seorang ulama besar dari kalangan para sahabat Rasulullah.

Selain daripada menghafal Al-Quran, beliau juga termasuk di kalangan sahabat yang kerap mengeluarkan fatwa ketika zaman Rasulullah.

Oleh sebab memiliki ilmu yang tinggi, maka beliau layak menjadi calon khalifah Islam. Saidina Umar bin Al Khattab telah memasukkan Saidina Uthman bin Affan dalam senarai calon-calon khalifah antara sebabnya adalah kerana Saidina Uthman bin Affan memiliki ilmu yang tinggi di samping memiliki akhlak yang baik.

Ini kerana untuk menjadi khalifah Islam, seseorang itu mestilah faqih dengan Kitabullah dan Sunnah Rasulullah.

Al Qasim bin Muhammad berkata, “Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali memberi fatwa pada zaman Rasulullah “. Manakala Sahl bin Abu Hathmah pula berkata, “Orang-orang yang biasa memberi fatwa pada zaman Rasulullah terdiri daripada tiga orang Muhajirin dan tiga orang Ansar iaitu Umar, Uthman, Ali, (Muhajirin) Ubay bin Kaab, Mu’adz bin Jabal dan Zaid bin Thabit”. (Ansar)

Di samping itu, beliau juga sering memberi fatwa di zaman pemerintahan Saidina Abu Bakar. Ketika Saidina Umar menjadi khalifah, Saidina Umar hanya menetapkan beberapa orang sahabat sahaja yang layak memberi fatwa.

Antaranya ialah Saidina Uthman, Saidina Ali, Ubay bin Ka’ab dan Zaid bin Thabit. Saidina Uthman bin Affan juga diriwayatkan sahabat yang paling faqih dalam manasik haji (kaedah melaksanakan haji mengikut Sunnah Rasulullah). Setelah beliau, orang yang faqih dalam manasik haji ialah Abdullah bin Umar.

Walaupun memiliki ilmu yang tinggi, namun Saidina Uthman bin Affan tidak banyak meriwayatkan hadith-hadith Rasulullah.

Ini kerana beliau bimbang bahawa hafalannya terhadap hadith-hadith Rasulullah tidak sempurna yang menyebabkan akan berlakunya kekurangan atau pertambahan pada hadith-hadith Rasulullah. Beliau sendiri pernah berkata, “Perkara yang menghalang aku untuk menyampaikan hadith dari Rasulullah bukanlah kerana aku tidak memahami Sunnah-sunnah baginda. Akan tetapi kerana aku pernah mendengar baginda bersabda, “Barangsiapa yang mengatakan atas namaku sesuatu yang tidak pernah aku katakan, maka hendaklah dia bersiap-siap untuk menempatkan dirinya di neraka”. 

Di samping itu, kesibukannya di dalam menguruskan negara juga menjadi faktor beliau tidak banyak meriwayatkan hadith-hadith Rasulullah.

Di zaman Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar, beliau sibuk membantu kedua-dua khalifah ini menguruskan negara. Kesibukannya itu bertambah apabila beliau sendiri mengetuai kerajaan Islam.

Oleh yang demikian, Saidina Uthman bin Affan hanya meriwayatkan sekitar 146 buah hadith sahaja. Beliau juga meriwayatkan hadith Rasulullah dari Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar.

Oleh Hanzalah Azman

Continue Reading

Previous: Salah guna AI jejas integriti akademik di IPT
Next: Konsep hijrah yang perlu dihayati

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.