Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Salah guna AI jejas integriti akademik di IPT
  • RENCANA

Salah guna AI jejas integriti akademik di IPT

Utusan Sarawak 12 hours ago
GAMBAR hiasan.

DALAM era kecerdasan buatan (AI) yang kian berkembang, pelbagai alat berasaskan teknologi itu mula muncul, antaranya ChatGPT yang mencetuskan perubahan besar dalam landskap pendidikan negara, terutama di institusi pengajian tinggi (IPT).

ChatGPT sebagai alat bantuan belajar menawarkan manfaat besar dalam perkara-perkara seperti penjanaan esei, kreativiti dalam penulisan, analisis data serta penyelidikan selain berkeupayaan menjawab soalan kompleks sekelip mata.  

Namun, di sebalik manfaat yang ditawarkan itu wujud kebimbangan salah guna, khususnya apabila penuntut menggunakan AI untuk menyiapkan tugasan secara “automatik”, tanpa pemahaman sebenar terhadap tajuk tugasan yang dikupas, atau dengan kata lain “penipuan akademik”.  

Kewujudan AI menyukarkan usaha mengesan kegiatan itu menerusi kaedah plagiarisme konvensional, dan lebih membimbangkan apabila kebergantungan pada alat tersebut mengaburkan sempadan antara usaha sendiri dan hasil bantuan teknologi pintar, yang seterusnya membuka ruang kepada isu etika dan pedagogi.

SITUASI ‘KECURANGAN’ AKADEMIK

Mengulas isu itu, Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia Prof Madya Dr Mohd Khairie Ahmad menjelaskan falsafah teknologi ialah untuk memudahkan dan meningkatkan keupayaan sesuatu hal, justeru penggunaan AI dalam pembelajaran bergantung pada konteks.

“AI generatif merupakan generasi teknologi yang mempunyai keupayaan menghasilkan sesuatu yang sebelum ini memerlukan daya fikir dan usaha manusia. AI pastinya mampu menghasilkan tugasan atau kerja kursus pelajar.

“Jika kebergantungan menyeluruh terhadap AI diamalkan pelajar, tidak mustahil fenomena ini merencatkan pembelajaran mereka. Fenomena penggunaan AI secara tidak bertanggungjawab atau tidak beretika dalam menghasilkan tugasan yang didakwa dihasilkan sendiri dikenali sebagai ‘AIgiarisme’ atau plagiarisme AI,” katanya kepada Bernama. 

Berkongsi situasi kecurangan akademik seperti memplagiat secara digital bukanlah sesuatu yang baharu, Mohd Khairie berkata dengan perkembangan teknologi AI, salah laku akademik juga menjadi dinamik.

Beliau berkata sejak AI generatif menjadi popular sekitar 2022, dunia pendidikan tinggi khususnya, telah sedar dan menjangkakan cabaran yang dibawa.

GAMBAR hiasan.

“Diakui bahawa penggunaan AI dalam pembelajaran, khususnya penghasilan tugasan sudah menjadi lumrah sejak setahun dua ini. Hingga kini memang terdapat pelajar yang bergantung penuh pada AI dalam penghasilan tugasan, menjawab ujian atau kuiz. Lebih-lebih lagi apabila dilaksanakan secara dalam talian.

“Ramai pelajar menganggap perbuatan tersebut tidak salah memandangkan penggunaan AI adalah sesuatu yang sah dan ia bukan teknologi terlarang. Namun, perkara itu dianggap sebagai satu perbuatan yang tidak beretika kerana bukan terhasil daripada usaha kognitif atau pemikiran pelajar itu sendiri. Malah perbuatan tersebut disifatkan sebagai satu bentuk plagiat.

“Lazimnya para pensyarah menilai tugasan pelajar dengan mengukur tahap persamaan, dan kini menerusi pengesanan AI. Antara aplikasi AI yang boleh digunakan untuk mengesan plagarisme AI ialah Turnitin, GPTZero, Winston AI, Originality.ai, Copyleaks AI Detector dan PerfectEssayWriter.ai,” katanya, menambah penilaian terhadap gaya serta struktur bahasa dan isi kandungan tugasan yang dihasilkan turut dilihat bagi mengesan pelanggaran integriti akademik.

Tidak menolak tenaga pengajar khususnya golongan pensyarah juga menggunakan teknologi AI untuk tujuan pengajaran dan penyelidikan, beliau bagaimanapun menekankan tiada kompromi apabila melanggar prinsip integriti akademik.

Menurut beliau, dunia pendidikan tinggi mempraktikkan amalan menghormati dan menghargai karya-karya ilmiah yang lepas.

“Sesuatu hasil ilmiah memerlukan pembacaan dan pencernaan penulisan sebelum ini dalam proses melahirkan pemikiran atau idea baharu. Inilah ciri utama penulisan ilmiah dan menjadi rukun penulisan akademik memberi pengiktirafan kepada rujukan-rujukan yang dibuat dengan sekurang-kurangnya menyenaraikannya.

“Dalam konteks AI menjadi kaedah yang produktif dan membantu kerja-kerja ilmiah, maka adalah beretika bagi sebarang penggunaan AI dinyatakan dengan jelas penggunaannya serta wajar disenaraikan sumber AI yang digunakan untuk memperoleh maklumat, idea dan sebagainya,” katanya. 

TETAPKAN  GARIS PANDUAN 

Menjawab persoalan adakah IPT mempunyai garis panduan jelas mengenai penggunaan AI oleh penuntut dan pensyarah, Mohd Khairie berkata dalam pengetahuannya, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) antara yang terawal menyatakan dengan ringkas panduan penggunaan AI generatif melalui Notis Nasihat  kepada semua IPT di Malaysia pada 2023.

Beliau berkata pada 2024 pula, Universiti Teknologi Malaysia telah menerbitkan garis panduan yang lebih khusus kepada pendidik dan pelajar dalam mengaplikasikan AI generatif. Garis panduan tersebut memfokuskan pada penggunaan AI yang sah, bertanggungjawab, telus, boleh dipercayai, beretika serta berteraskan nilai, peraturan dan perundangan.

“Memandangkan AI sudah menjadi asas dan rutin dalam proses pengajaran-pembelajaran, semua IPT sewajarnya mempunyai garis panduan AI Generatif yang lebih jelas dan khusus. Malah, garis panduan itu juga kemudiannya perlu selari dengan Akta AI yang sedang digubal oleh Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO), Kementerian Digital,” katanya.

GAMBAR hiasan.

Menyifatkan pendekatan terbaik ialah mendidik pelajar menggunakan AI secara beretika dan bertanggungjawab, iaitu sebagai alat bantu pembelajaran dan bukan jalan pintas menyiapkan tugasan, beliau berkata perkara itu penting memandangkan AI bakal menjadi alat wajib bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti pembelajaran.

“Penggunaan AI wajar difahamkan sebagai bukan hasil akhir tetapi sebagai sebuah proses dalam membantu kegiatan kognitif (pemikiran) pelajar. Jika ini tidak berlaku, tidak mustahil penyakit digital seperti ‘brainrot’ (kelesuan mental) akan turut berlaku dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi.

“AI ialah sebuah fenomena yang tidak dapat dielakkan, dan pada masa sama sebagai satu keperluan masa kini, justeru pendedahan serta pengamalan AI sebagai alat sokongan pembelajaran perlu diangkat sebagai nilai dan pembudayaan.

“Sebuah kajian yang dijalankan oleh penerbit terkemuka antarabangsa iaitu Wiley, menunjukkan pada 2024 AI telah menyumbang kepada peningkatan 72 peratus kecurangan akademik berbanding 2021 di Amerika Syarikat dan Kanada. Namun, bimbingan penggunaan AI yang bertanggungjawab dan beretika oleh para pendidik didapati berpotensi mengurangkan kecurangan akademik pelajar,” katanya. 

AI SEBAHAGIAN EKOSISTEM

Sementara itu, Persatuan Pengguna Siber (MCCA) berpandangan peningkatan penggunaan AI khususnya ChatGPT dalam kalangan penuntut IPT sebagai satu isyarat jelas bahawa pendidikan tinggi sedang berdepan dengan transformasi teknologi yang mendalam.

Presidennya Siraj Jalil berkata AI bukan lagi alat masa depan sebaliknya menjadi sebahagian daripada ekosistem semasa di IPT.

“MCCA tidak melihat isu ini sebagai ancaman secara mutlak ataupun peluang yang bebas risiko. Ia berada pada ruang kelabu yang boleh membawa manfaat atau kemudaratan, bergantung pada cara penggunaan.

“Jika seorang mahasiswa menggunakan AI untuk mempercepat kefahaman subjek yang mereka pelajari, menjana idea atau membantu menyusun pemikiran, maka ia dapat membentuk kemajuan. Namun, jika ia digunakan sepenuhnya tanpa penglibatan akal, pemikiran kritikal dan nilai tanggungjawab, maka ia jelas mencabar integriti akademik.

“Oleh itu, bagi MCCA, inilah masanya untuk IPT menilai semula pendekatan penilaian dan pembelajaran, bukan menolak AI daripada kaedah pembelajaran tetapi untuk membentuk satu rangka kerja yang membolehkan AI dimanfaatkan secara beretika dan berkesan,” jelasnya.

Kebimbangan segelintir pensyarah akan perkara ini turut dianggap sesuatu yang harus dipandang serius, beliau berkata MCCA menerima banyak maklum balas secara langsung daripada warga pensyarah bahawa berlaku peningkatan mendadak jumlah pelajar yang menyerahkan tugasan dijana hampir sepenuhnya oleh AI.

“Ini bukan sahaja mengganggu proses penilaian akademik mereka, malah menimbulkan ketidaktentuan dari sudut estetika dan nilai akademik berkenaan. Penyelesaian kepada isu ini bukanlah sekadar mengenakan sekatan atau hukuman semata-mata, tetapi dengan mewujudkan satu ekosistem akademik yang lebih bertanggungjawab dan berfokus pada etika bahkan mungkin ke tahap pembentukan penanda aras baharu akademik yang menjangkaui penggunaan AI.

“Setiap IPT wajar membangunkan garis panduan penggunaan AI yang jelas, serta mengintegrasikan modul literasi AI dan etika akademik dalam orientasi pelajar dan pembangunan profesional pensyarah. Tugasan juga perlu distruktur semula agar menekankan pada proses, bukan hanya produk seperti pembentangan, portfolio reflektif atau tugasan lapangan,” katanya, menambah etika kepenggunaan bukan dibentuk melalui ketakutan tetapi melalui kefahaman dan bimbingan jelas.

Siraj pada masa sama mencadangkan agar para pensyarah diberi latihan berhubung penggunaan AI dalam penyelidikan dan penulisan akademik, termasuk keperluan menyatakan penggunaan AI secara terbuka di bahagian metodologi atau rujukan, bagi menjamin integriti mereka.

“Penerbitan akademik, terutamanya di peringkat jurnal dan prosiding, juga perlu mula menyesuaikan dasar mereka terhadap kandungan dijana AI. Yang penting kuncinya ialah keseimbangan antara inovasi dan integriti. Ini bagi menepis kebimbangan bahawa sebahagian kandungan penyelidikan boleh terhasil tanpa semakan kritikal atau tanpa deklarasi penggunaan AI yang jelas,” katanya.

Turut berpendapat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) boleh menggubal satu dasar nasional atau garis panduan rasmi berkaitan penggunaan AI di IPT dengan kerjasama NAIO, Siraj berkata dasar itu boleh merangkumi beberapa komponen asas: tahap penggunaan AI yang dibenarkan, jenis tugasan yang sesuai untuk penggunaan AI, bentuk penyalahgunaan yang perlu diambil tindakan serta keperluan literasi dan etika AI untuk semua warga kampus.

“Dasar ini boleh dibangunkan secara inklusif dengan libat urus pakar akademik, pelajar, penggiat teknologi dan pihak industri agar ia benar-benar bersifat responsif dan praktikal.

“Penggunaan AI secara bertanggungjawab bermula dengan satu prinsip asas, – AI ialah alat bantu, bukan pengganti akal manusia. Bagi pelajar, tanggungjawab bermula dengan kesedaran bahawa pembelajaran adalah satu proses pembangunan diri, membina kefahaman terhadap bidang yang diceburi dan bukan sekadar penghasilan tugasan untuk mendapat gred.

“Menggunakan AI untuk memahami konsep atau menyemak struktur penulisan boleh diterima, tetapi meniru atau menjana keseluruhan tugasan tanpa pemahaman adalah bertentangan dengan semangat dan disiplin pendidikan,” katanya, menambah baik pelajar ataupun pensyarah wajar memahami risiko penyalahgunaan dan ancaman AI, termasuk kemungkinan maklumat palsu, algoritma yang bias dan penyebaran kandungan tanpa validasi.

KESEDARAN, LITERASI TINGGI

Berkongsi pandangan, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Mara Shah Alam Sesi 2024/2025 Muhammad Haziq Sabri  berkata ChatGPT kini menjadi amalan biasa dakam kalangan penuntut IPT dan banyak membantunya dalam menyiapkan tugasan dan penyediaan nota ketika peperiksaan.

“Ia membolehkan  penjanaan nota daripada slaid yang disediakan oleh pensyarah dan membantu kefahaman berhubung sesuatu perkara. Penggunaan ChatGPT untuk membaiki tatabahasa dan struktur ayat juga dapat mempercepatkan saya dalam menghasilkan sesuatu tugasan.

Menolak penggunaan AI khususnya ChatGPT sebagai satu bentuk penipuan akademik, mahasiswa ini menegaskan teknologi itu alat sokongan pembelajaran moden dan perlu digunakan dengan bertanggungjawab.

“Perkara ini menjadi penipuan akademik apabila pelajar hanya ‘copy and paste’ tanpa memahami atau mengubah isi kandungan yang disediakan oleh ChatGPT. Hampir semua rakan-rakan saya turut menggunakan ChatGPT namun tidaklah bergantung sepenuhnya… hanya tertumpu pada sesuatu perkara seperti sktruktur sesuatu tugasan dan semakan tatabahasa.

“Setakat ini, saya masih belum mendengar kes pelajar yang dikenakan tindakan tatatertib apabila menyalah guna AI. Kebanyakan pelajar masih menggunakan ChatGPT dengan bertanggungjawab kerana mereka sedar apabila menyalahgunakannya akan mengundang  pelanggaran etika akademik yang telah ditetapkan oleh pihak universiti,” katanya. 

Muhammad Haziq berkata mengikut Pekeliling Akademik Bil.5 Tahun 2023, garis panduan rasmi berkaitan penggunaan ChatGPT dalam pengajaran dan pembelajaran telah dikeluarkan yang menekankan bahawa pensyarah digalakkan membimbing pelajar cara menggunakan ChatGPT sebagai alat bantu pembelajaran secara beretika.

Beliau berkata pekeliling itu juga menyatakan  AI mesti digunakan untuk membina pemikiran kritis, kefahaman dan nilai, bukan sekadar penyalinan jawapan berdasarkan Perkara 6.

“Ini menunjukkan bahawa pihak universiti bukan sahaja membenarkan penggunaan AI malah mengalakkan dengan cara yang bertanggungjawab serta menyediakan garis panduan,” kata penuntut Ijazah Sarjana Muda Perhubungan Awam, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media itu.

Bagi penuntut Sarjana Penyelidikan (Bioteknologi Marin), Universiti Malaysia Terengganu Muhammad Asyraf Daniyal Abdul Halid, 24, ChatGPT hanya sebagai panduan dengan lebih 90 peratus kandungan tugasan adalah hasil kerja penuntut sendiri dalam mencari maklumat sahih dan mempunyai rujukan. 

 “ChatGPT sangat membantu kami dalam mencari dan mengumpulkan maklumat yang diperlukan, merangka idea serta gambaran besar mengenai sesuatu tugasan atau projek yang diberikan pensyarah. Namun, penggunaannya secara plagiat dan tidak fact-check maklumat yang diperoleh adalah contoh salah guna yang biasa berlaku dalam kalangan penuntut,” katanya, menambah tidak semua penuntut IPT mempunyai tahap kesedaran dan literasi yang tinggi dalam menggunakan perisian itu.

-Bernama

Continue Reading

Previous: Percayalah ujian Allah terbaik untuk kita

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.