
DALAM program podcast Keluar Sekejap pada 16 September 2023 iaitu kira-kira empat bulan sebelum pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bercakap panjang lebar mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk mendedahkan isu tertentu yang tidak pernah dilakukan secara terbuka oleh mana-mana pemimpin sebelum ini.
Pada program itulah Wan Junaidi yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) mendedahkan Sarawak dan Sabah tidak diberi pemberian khas tahunan seperti termaktub dalam MA63 selama 54 tahun.
“Pada 1965, Sarawak diberi RM4 juta, digandakan pada 1966 kepada RM8 juta, manakala pada 1969, diberi RM16 juta tetapi selepas itu dihentikan,” katanya pada program yang dihoskan oleh Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan di Kuala Lumpur sempena sambutan Hari Malaysia.

Sambungnya lagi: “Jumlah itu mungkin mencecah berbilion-bilion sekarang. Kami telah kehilangan berbilion-bilion sejak 1969.
“Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan menetapkan peruntukan yang munasabah diberikan kepada Sarawak dan Sabah. Ia tertakluk kepada semakan setiap lima tahun sekali,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘bermurah hati’ menawarkan RM300 juta kepada Sarawak.
Kerajaan Persekutuan mula mengakui dan mengiktiraf fakta ini apabila awal 2023, Anwar mengumumkan peruntukan Pemberian Khas RM300 juta, masing-masing kepada Sarawak dan Sabah bagi memenuhi desakan kedua-dua negeri sejajar dengan tuntutan di bawah MA63.
Jumlahnya dinaikkan pula kepada RM600 juta mulai tahun ini, berbanding RM300 juta sejak November 2023. Ini masih berbentuk sementara atau interim kerana Putrajaya berjanji untuk memberi agihan tetap tahunan.
PUNCA RAKYAT SARAWAK TAK PUAS HATI
Dalam program popular itu, Wan Junaidi, antara lain juga memperjelaskan sebab rakyat Sarawak tidak puas hati mengenai MA63.
Katanya, kandungan MA63 hanya membabitkan dua muka surat tetapi dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), kandungannya banyak perjanjian yang belum direalisasikan.
“Itu satu. Yang kedua, apabila berlaku Darurat 1969, pentadbiran persekutuan menggunakan darurat itu untuk encroaching (menceroboh) ke dalam hak Sarawak dan Sabah. Ketidakpuasan orang Sarawak ialah apa yang dijanjikan tak diberi dan yang sudah diberi tetapi ditarik balik.
“Ada yang belum dikeluar lagi yang dalam perjanjian itu, belum dilaksana lagi. Ini membuatkan orang Sarawak berasa tidak puas hati,” katanya tetapi tidak memberitahu butiran lanjut.

Beliau berkata Sarawak dan Sabah begitu luas berbanding negeri-negeri di Semenanjung tetapi kekurangan kemudahan asas.
“Infrastruktur kami tak ada, air tak ada, jalan tak ada… semua tak ada. Yang memberi kami yang besar ialah (Lebuh Raya) Pan Borneo masa Najib (Datuk Seri Najib Razak). Sebelum itu tak ada apa-apa pun yang memenuhi kehendak di bawah 112D (Perlembagaan Persekutuan),” kata Wan Junaidi.
Namun, antara sumbangan paling signifikan Wan Junaidi ialah kejayaan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan sebahagian hak Sarawak yang terhakis ketika memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).
Ini diakui Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berucap pada Majlis Interaksi dan Kesyukuran atas Pemasyhuran Wan Junaidi sebagai Yang Dipertua Dewan Negara, pada 9 Ogos 2023.
PENGAKUAN ANWAR
Katanya, Wan Junaidi berjaya mendapatkan kelulusan Parlimen untuk meminda Perkara 160 Perlembagaan bagi memasukkan Perjanjian Malaysia (MA63), Laporan Cobbold dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
“Apabila Wan Junaidi memasukkannya (MA63, laporan Cobbold dan IGC) dan pindaan Perlembagaan itu diterima lebih daripada dua pertiga Ahli Parlimen untuk menjadi undang-undang, jadi hak-hak Sarawak dilindungi oleh Perlembagaan,” katanya.
Usaha Wan Junaidi memperjuangkan MA63 turut diakui Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam Ahad lalu.

Menurut Anwar, ketegasan dan keberanian Wan Junaidi dalam memperjuangkan hak-hak Sarawak menjadi asas kukuh kepada usaha memperbetul dan menyeimbangkan semula hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri di Borneo.
“Rakyat Sarawak bertuah memiliki TYT yang tegas dan komited dalam memperjuangkan hak negeri ini khususnya dalam hal-hal berkaitan MA63,” katanya.
Itulah peranan dimainkan oleh Wan Junaidi sebagai pendesak tuntutan MA63 dari dalam ketika menjawat jawatan menteri dalam Kerajaan Persekutuan.
Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem (Tok Nan) pula merintis jalan ke arah tuntutan MA63 dan Abang Johari menyambung legasinya, dengan cara lebih agresif menggunakan kekuatan Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta berhubung secara langsung dengan Perdana Menteri.
Kita akui Putrajaya sudah memenuhi sebahagian tuntutan Sarawak di bawah MA63 tetapi banyak lagi yang perlu dipenuhi.
Ini termasuk bayaran tetap pemberian khas tahunan dan 35 peratus kerusi Parlimen untuk Sarawak dan Sabah, yang dianggap amat penting.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak