Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Baptista Emmanuell, pemain sape cilik dari Belaga tangguh sertai Kejohanan Dunia di AS
  • INSPIRASI

Baptista Emmanuell, pemain sape cilik dari Belaga tangguh sertai Kejohanan Dunia di AS

Utusan Sarawak 19 hours ago
BAPTISTA Emmanuell Korintus beraksi pada RWMF 2025 baru-baru ini. -Foto Ngelotak Danum

KUCHING: Pemain sape cilik dari Belaga, Baptista Emmanuell Korintus, terpaksa melupakan impiannya untuk bertanding di pentas Kejohanan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) yang dijadual berlangsung di California, Amerika Syarikat dari 15 hingga 24 Julai ini.

Baptista, 10 tahun, atau lebih dikenali dengan nama timangan Nuel@Levat, berasal dari Rumah Sekapan, Piit Belaga yang bersekolah Tahun Empat, di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Batu 7, Matang, Kuching.

Beliau sebelum ini telah meraih pingat perak dalam uji bakat MCOPA Malaysia di Star On Stage, Kuching, sekali gus melayakkan dirinya mewakili Malaysia ke kejohanan peringkat dunia tersebut.

Namun menurut bapanya, Korintus Leban, 53 tahun, faktor keselamatan semasa menyebabkan pasukan Malaysia terpaksa menangguhkan penyertaan mereka tahun ini.

“Jika keadaan mengizinkan, pasukan Malaysia akan menyertai semula WCOPA pada tahun hadapan. Penangguhan ini tidak mematahkan semangat Baptista untuk terus aktif dalam bidang seni sape,” katanya kepada Utusan Sarawak.

Walaupun peluang ke WCOPA terpaksa ditangguh, Baptista tetap mencipta sejarah tersendiri apabila diberi peluang membuat persembahan solo sape tradisional “Leto Ngorek” dan mengiringi kumpulan Manai Kuwai Kancet Ajai Warrior Dance di pentas utama Jungle Stage sempena Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2025, baru-baru ini.

Antara artis lain yang turut berkongsi pentas termasuk Sinaran Collective (Malaysia), Manhu (China), Tal Fry (India), Buluh Berkocak (Sarawak), La Chiva Gantiva (Colombia/Belgium), N’famady Kouyate (Guinea/UK) dan At Adau (Sarawak).

Menurut Korintus, tarian Kancet Ajai, iaitu tarian perang komuniti Orang Ulu, diketuai olehnya sendiri dan pertama kali dipersembahkan di RWMF atas cadangan Pengerusi Lembaga Pelancongan, Dato’ Dennis Ngau, untuk menyemarakkan malam terakhir festival.

“Baptista mempunyai aura tersendiri ketika bermain sape di atas pentas. Pakaian tradisional etnik Sekapan yang digayakannya juga menarik perhatian ribuan penonton,” ujar bapanya.

Persembahan Baptista turut menerima pujian daripada legenda muzik seperti kumpulan At Adau dan pemain sape terkenal, Jerry Kamit yang kagum dengan bakat muda itu.

Lebih membanggakan, Baptista kini diiktiraf sebagai pemain sape termuda dalam sejarah RWMF yang pernah membuat persembahan di pentas utama festival tersebut.

“Walaupun masih muda dan telah mencuri tumpuan, dia kekal merendah diri, seperti nama kumpulan asal kami, ‘Ngelotak Danum’ yang membawa maksud ‘hadir bukan untuk menunjukkan kehebatan, tetapi sekadar memeriahkan suasana’,” kata bapanya.

Menurut Korintus lagi, anaknya menjadikan permainan sape sebagai hobi waktu lapang dan bercita-cita untuk menjadi guru muzik suatu hari nanti.

Oleh Adi Safarman

Tags: inspirasi

Continue Reading

Previous: Kevin Lau sertai ‘Go Bald’ sempena Hari Bapa, sokong anak-anak pesakit kanser

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.