KUCHING: Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) menjadi aspek penting dalam menjalankan program ibadah korban tahun ini.
Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, disebabkan penularan pendemik Covid-19, suasana ibadah korban tahun ini agak berbeza.
“Beberapa SOP dikeluarkan Kementerian Kesihatan dan garis panduan sekretariat Majlis Islam Sarawak (MIS) untuk pelaksanaan ibadah korban.
“Ia membuatkan suasana kali ini berbeza kerana jawatankuasa pengelola perlu mematuhi SOP ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ibadah Korban yang dianjurkan Jawatankuasa Keselamatan Kampung-Kampung Zon Santubong (JAKSA) di Kampung Sungai Daun Nibong semalam.
Dr. Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) menjelaskan, setakat ini tiada laporan mengenai pelanggaran SOP diterima.
“Kita mempunyai kira-kira 1,000 surau dan 400 masjid diseluruh negeri, hampir kesemuanya melaksanakan ibadah korban tahun ini,” ujarnya.
Menurutnya lagi, program ibadah korban tahun ini juga menampilkan sedikit kelainan kerana hanya boleh dilaksanakan di masjid atau surau dan pusat penyembelihan.
Sementara itu, Dr. Abdul Rahman turut merasmikan Surau Darul Iman Kampung Sungai Daun Nibong.
Hadir sama Pemanca Kuching Utara Rashidi Junaidi dan Penghulu Salak Abdul Wahed Mat.
Oleh Diyana Samsuddin