Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Penutupan ruang udara dorong syarikat penerbangan Malaysia, global berjaga-jaga
  • SEMASA

Penutupan ruang udara dorong syarikat penerbangan Malaysia, global berjaga-jaga

Utusan Sarawak 13 hours ago
BEBERAPA negara Asia Barat termasuk Qatar dan Emiriah Arab Bersatu dilaporkan telah membuka semula ruang udara mereka dan menyambung semula operasi penerbangan. Sementara itu, tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mendapati perlepasan penerbangan ke Asia Barat disambung semula. Tiada penerbangan yang dijadualkan berlepas dilihat dibatalkan setakat 4.00 petang ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR:  Sektor penerbangan Malaysia berada dalam keadaan berjaga-jaga, memberi keutamaan kepada aspek keselamatan untuk mengelak kejadian pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh lebih sedekad lepas berulang.

Langkah berjaga-jaga yang dipertingkatkan ini berikutan gelombang penutupan ruang udara oleh negara-negara Arab selepas Iran melancarkan serangan ke atas pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Qatar.

Qatar, antara hab penerbangan tersibuk di rantau itu, menutup sementara ruang udaranya pada malam Isnin berikutan serangan tersebut dalam situasi ketegangan geopolitik yang semakin meningkat disebabkan konflik ketenteraan melibatkan Iran, AS dan Israel.

Pakar ekonomi dalam bidang penerbangan dan aeroangkasa di Institut Teknologi Penerbangan Malaysia Universiti Kuala Lumpur Prof Madya Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata, serangan dan ketegangan berterusan di rantau tersebut mewujudkan risiko besar kepada syarikat penerbangan nasional dan pengendali penerbangan tempatan lain.

Pengasas Endau Analytics yang juga penganalisis penerbangan Shukor Yusof turut mengingatkan bahawa syarikat penerbangan Asia Tenggara amat berisiko berikutan mereka bergantung pada ruang udara Timur Tengah untuk penerbangan ke Eropah.

Mohd Harridon berkata, syarikat penerbangan Asia Tenggara mungkin perlu menukar laluan penerbangan ke arah barat.

Perkembangan itu telah mewujudkan kebimbangan dalam kalangan syarikat penerbangan serantau, termasuk Malaysia Airlines dan AirAsia X berikutan konflik itu boleh menjejaskan operasi dan keselamatan penerbangan.

AirAsia X memberi tumpuan kepada destinasi di Asia dan Australia tetapi penerbangan bermusim dari Kuala Lumpur ke Jeddah dan Madinah biasanya melalui negara-negara di bahagian selatan Teluk.

Digelar sebagai ‘gerbang ke dunia’, Lapangan Terbang Qatar dilaporkan mengendalikan lebih 360,000 penerbangan dan 30 juta penumpang setiap tahun.

“Risiko itu boleh menyebabkan aspek lain seperti kemelesetan ekonomi, kedudukan kewangan merosot serta kelembapan dalam perdagangan dan perniagaan,” kata Mohd Harridon kepada Bernama yang mengulas konflik di Asia Barat terutamanya selepas serangan Iran ke atas pangkalan tentera AS di Qatar.

Negara-negara Arab lain turut mengambil langkah sama dengan menutup ruang udara mereka. Bahrain mengesahkan penggantungan sementara aktiviti navigasi udara di ruang udara negara itu berikutan ketidaktentuan serantau yang meningkat manakala Emiriah Arab Bersatu (UAE), Iraq dan Oman telah melaksanakan langkah yang sama.

Syarikat Penerbangan Tempatan Utamakan Keselamatan Penumpang

Malaysia Airlines mengekalkan komitmennya terhadap aspek keselamatan, menyatakan bahawa semua penerbangan tertakluk kepada penilaian risiko yang berterusan berdasarkan ketegangan serantau yang menjejaskan sebahagian ruang udara Asia Barat.

“Kami terus berpegang kepada panduan daripada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan pihak berkuasa penerbangan global lain untuk memastikan keselamatan ruang udara yang digunakan dalam operasi.

“Semua laluan penerbangan dinilai menggunakan risikan masa nyata, laporan keselamatan global, Notis kepada Juruterbang (NOTAM) dan pemantauan berterusan melalui Sistem Pemantauan Penerbangan syarikat penerbangan yang dilengkapi dengan SATCOM,” menurut Malaysia Airlines.

Menurut syarikat penerbangan nasional itu, pihaknya terus berwaspada dan akan melaksanakan perubahan operasi yang diperlukan—termasuk menukar laluan atau menggantung penerbangan—jika perlu berikutan keselamatan penumpang dan anak kapal terus menjadi keutamaan.

Begitu juga, AirAsia X mengesahkan bahawa mereka memantau perkembangan dengan teliti dan akan mematuhi semua prosedur keselamatan yang diperlukan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan beberapa penerbangan Malaysia ke Asia Barat telah dibatalkan berikutan serangan Iran ke atas pangkalan tentera AS di Qatar semalam.

Kos Operasi Dijangka Meningkat Susulan Perubahan Laluan Penerbangan 

Mohd Harridon berkata, rantau yang terjejas merupakan laluan utama untuk trafik penerbangan.

“Sebarang perubahan laluan akan menyebabkan kos operasi meningkat berikutan penggunaan bahan api yang lebih tinggi dalam penerbangan,” katanya.

Beliau berkata, tambahan jarak penerbangan juga akan menjadi perdebatan berikutan ini akan meningkatkan tempoh penerbangan dan memerlukan penyusunan semula jadual penerbangan.

“Terdapat kemungkinan kawasan yang bergolak akan menjadi terbatas dari segi pergerakan dan akses penerbangan di ruang udaranya. Situasi ini akan menyebabkan impak domino, dengan kesan yang ketara dan meluas.

“Sekatan perdagangan, terutamanya bahan api akan meningkatkan tekanan kewangan ke atas rantaian bekalan logistik dan menjejaskan kawasan lain di sekitar Asia Barat yang berisiko tinggi untuk ditutup akibat peluasan serangan bersifat ofensif.

“Ini akan terus menjejaskan kerancakan ekonomi industri penerbangan,” katanya.

Ketidaktentuan Geopolitik Membentuk Semula Perjalanan Udara 

Shukor mengingatkan bahawa konflik semasa menunjukkan risiko di kawasan tersebut yang telah lama wujud semakin meningkat. 

“Risiko sebenar daripada ketegangan geopolitik terhadap syarikat penerbangan telah bermula lebih 10 tahun lepas apabila MH17 ditembak jatuh. Apa yang kita lihat hari ini adalah lanjutan kepada keretakan dalam hubungan antarabangsa,” katanya.

Penerbangan Malaysia Airlines MH17 – dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014 – ditembak jatuh di ruang udara timur Ukraine.

“Kita hidup dalam era yang sangat tidak menentu. Syarikat penerbangan akan berhati-hati untuk menyambung semula penerbangan sehingga wujud kestabilan. Pada pandangan saya, situasi tidak akan stabil dalam tempoh tiga setengah tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata, ketidakstabilan yang berpanjangan akan menjejaskan lembaran imbangan syarikat penerbangan dan boleh membentuk semula cara orang ramai melakukan perjalanan di peringkat global, dengan peralihan daripada perjalanan antara benua kepada pilihan yang lebih bersifat serantau.

Mohd Harridon berkata, struktur kewangan syarikat penerbangan perlu diselaraskan dari segi ekonomi untuk mengurangkan impak daripada cabaran ini.

“Pelan mitigasi perlu disediakan oleh syarikat penerbangan untuk mengoptimumkan operasi penerbangan dan pematuhan kepada operasi yang cekap menjadi kewajipan dari segi ekonomi dan kewangan,” katanya.– Bernama

Continue Reading

Previous: Beberapa penerbangan ke Asia Barat batal, Syarikat diarah ambil langkah mitigasi – Loke
Next: Fadillah tiba di Moscow untuk lawatan kerja lima hari

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.