
KATIBAS: Komitmen kerajaan Sarawak dalam memperkasa pengiktirafan Hak Adat Bumiputera (NCR) terus diperkukuh melalui pelaksanaan Dialog Lapangan Pengukuran Perimeter Tanah Seksyen 6 mengikut Akta Kanun Tanah Negeri (KTN) bagi kawasan Sungai Bangkit, Katibas.
Program anjuran Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Kapit itu berlangsung di Rumah Sebastian Tambi, Nanga Bangkit, hari ini dan dihadiri lebih 200 penduduk serta pemimpin masyarakat daripada 24 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Katibas Tengah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan berkata, pengukuran Seksyen 6 adalah langkah penting bagi memberikan pengiktirafan sah ke atas tanah NCR milik komuniti.
“Selagi tiada dokumen rasmi, tanah tersebut belum diiktiraf secara undang-undang. Kerjasama semua pihak amat penting untuk kelancaran proses ini,” katanya.
Beliau turut menggesa agar sebarang isu sempadan diselesaikan secara harmoni berasaskan adat, dengan bimbingan ketua kaum.
“Jika ada kawasan yang tertinggal selepas pengukuran Seksyen 6, permohonan boleh dibuat melalui Seksyen 6A di bawah Domain Wilayah Pribumi (NTD),” jelasnya.
Sementara itu, Superitenden JTS Kapit, Sagu Unting memaklumkan bahawa seluas 11,417 hektar tanah akan diukur di sekitar Rumah Selikau, Batu Labang, Makut dan sepanjang Sungai Bangkit.
Sebanyak empat syarikat telah dilantik untuk menjalankan kerja-kerja pengukuran iaitu Borders Survey Consultant Sdn. Bhd., Geo Survey Consultant, Survey Development Survey dan Ace Geomatic Sdn. Bhd.
“Langkah ini akan memisahkan tanah NCR daripada tanah kerajaan dan kawasan pembalakan, seterusnya membuka laluan ke fasa Seksyen 18 bagi pengeluaran geran individu,” jelasnya.
-UKAS