MIRI: Stadium Tertutup Miri yang baharu siap diubah suai kini menjadi Pusat Swab Sehenti bagi memenuhi kemasukan pelancong yang memerlukan swab.
Selaras dengan pengumuman Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak bagi tempoh 1 hingga 14 Ogos ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri telah memutuskan pelancong dari Malaysia Barat, Labuan dan Sabah yang kembali ke Bahagian Miri dan alamat tempat tinggal mereka di di Daerah Miri, mereka akan di kuarantin di rumah.
Semalam Menteri Bertanggungjawab JPBB Miri, Datuk Lee Kim Shin dalam kenyataan media berkata, mereka akan di swab pada hari kedua dan direkodkan.
Katanya, pada hari tersebut, mereka akan datang ke Stadium Tertutup Miri untuk diambil swab oleh pegawai Jabatan Kesihatan Negeri dan hasil swab akan dimaklumkan kepada mereka melalui Sistem Pesanan Ringkas.
Setelah keputusan mereka diterima, mereka dapat datang ke Stadium Tertutup Miri untuk mendapatkan pelepasan kuarantin.
Datuk Lee menambah, bagi pelancong yang alamat kediaman di Subis, Beluru, Marudi dan Telang Usan, mereka akan dimasukkan ke hotel semasa tiba di Lapangan Terbang Miri dan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Sungai Tujoh.
“Mereka akan dibawa ke hotel dan dilakukan ujian swab pada kedua. Sekiranya keputusan negatif, mereka akan dibawa ke rumah masing-masing dengan pelepasan kuarantin,” tambahnya.
Justeru, pelancong yang mempunyai sejarah baru pulang dari luar negara termasuk dari Brunei, mereka akan dikuarantinkan di hotel dan swab akan dilakukan pada hari kedua dan kesepuluh.
Setelah keputusan negatif dan dikuarantin selama 14 hari, keputusan akan dihantar ke rumah masing-masing,” jelasnya.
Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Keselamatan Miri diberi tanggungjawab untuk memastikan kawasan Stadium Tertutup Miri sentiasa selamat dan bersih mengikut prosedur pembersihan harian.