SIBU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa memberi keutamaan kepada doktor Sabah dan Sarawak untuk dilatih sebagai doktor pakar dalam apa jua bidang kepakaran sebagai usaha mengatasi masalah kekurangan doktor pakar di kedua-dua negeri ini.
Pengerusi Majlis Perubatan Malaysia (MMC) Cawangan Sibu Dr Wong Chya Wei berkata, umum mengetahui bahawa jumlah doktor perubatan di negara ini telah mencapai nisbah antarabangsa iaitu seorang doktor kepada 550 orang pesakit.
“Oleh itu, saya sekali lagi mendesak KKM untuk memandang serius masalah ini agar lebih ramai doktor dari Sabah dan Sarawak diterima dalam sistem latihan kepakaran untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan di kedua-dua negeri ini,” jelasnya.
Beliau percaya mereka akan kembali berkhidmat di negeri asal masing-masing selepas dilatih menjadi doktor pakar.
“Namun, kami masih kekurangan doktor pakar,” jelasnya ketika ditemui pemberita di bangunan Gabungan Persatuan Cina (UCA) Sibu di sini, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dudong Wong Ching Yong dan Pengerusi Jawatankuasa Unit Tugas Khas UCA Untuk Akreditasi Penuh Ijazah Perubatan di China UCA Sibu Teo Kin Hin.
Selama bertahun-tahun, katanya latihan profesional semasa di universiti awam di negara ini telah menunjukkan peningkatan jumlah doktor pakar.
“Namun, masih belum cukup jika dilihat pada populasi per kapital. Di Sarawak, selain dari bandar-bandar seperti Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri, semua hospital daerah seperti Kapit, Lawas dan Sarikei masih kekurangan doktor perubatan dalam bidang kepakaran,” katanya.
Sementara itu, Teo berkata UCA Sibu menyokong penuh cadangan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian untuk menubuhkan Majlis Perubatan Sarawak (SMC).
“Usaha ini bukan hanya menyelesaikan isu-isu perubatan dan masalah pengagihan jawatan serta penempatan doktor di Sarawak malah rakyat Sarawak juga dapat menikmati kemudahan perubatan yang lebih baik dengan khidmat doktor-doktor yang berasal dari negeri ini,” ujarnya.
Oleh Nurzilla Mohamad