Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Messi bakal bersemuka kelab lamanya PSG di pusingan 16 terakhir
  • SUKAN

Messi bakal bersemuka kelab lamanya PSG di pusingan 16 terakhir

Utusan Sarawak 1 day ago

MIAMI GARDENS, Amerika Syarikat: Lionel Messi bakal bertemu semula dengan bekas kelabnya, Paris Saint-Germain (PSG), selepas Inter Miami mara ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia Kelab dengan keputusan seri 2-2 menentang Palmeiras, pagi tadi.

Pasukan Brazil itu bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mencatat keputusan seri 2-2 di Stadium Hard Rock, sekali gus memastikan kedua-dua pasukan mara ke pusingan kalah mati.

Gol daripada Tadeo Allende dan Luis Suarez meletakkan Miami di landasan untuk mencatat kemenangan mengejut kedua selepas menewaskan Porto sebelum ini.

Namun, Palmeiras bangkit dalam 10 minit terakhir menerusi jaringan Paulinho dan Mauricio untuk mengesahkan tempat mereka di pusingan seterusnya.

Hanya segelintir yang menjangka Miami akan mara daripada kumpulan, namun mereka kini bakal berdepan juara Eropah PSG, manakala Palmeiras akan bertemu sesama wakil Brazil, Botafogo.

Bagi Messi, yang menyambut ulang tahun kelahirannya ke-38 pada Selasa, perlawanan di Atlanta itu akan menjadi pertemuan pertama menentang bekas kelabnya PSG sejak berpindah ke Miami pada 2023.

Keputusan itu uga menyaksikan kelab Mesir, Al Ahly dan Porto tersingkir, walaupun aksi mereka di Stadium MetLife, New Jersey menyajikan perlawanan menghiburkan dengan keputusan 4-4.

Enam pemain Argentina berada dalam kesebelasan utama Miami yang beraksi di hadapan ramai penyokong Brazil dengan jumlah kehadiran seramai 60,914 orang.

Penyokong pelawat bersorak di awal permainan apabila Gustavo Gomez menanduk bola deras ke arah gol hasil sepakan sudut, tetapi Oscar Ustari bertindak cemerlang menyelamatkan percubaan itu.

Miami membuka jaringan pada minit ke-16 apabila Suarez dengan bijak menahan hantaran jauh menggunakan dada dan menghantarnya kepada Allende yang membuat larian pantas melepasi pertahanan Palmeiras sebelum tenang menyudah ke gawang menewaskan Weverton.

Taktik Palmeiras yang membiarkan Miami menguasai permainan tidak menjadi, apabila Messi yang kerap turun ke bawah bergandingan baik dengan Sergio Busquets dan Federico Redondo, membolehkan skuad Major League Soccer itu mendominasi penguasaan bola.

Peluang terbaik Palmeiras sebelum rehat hadir menerusi Facundo Torres namun rembatannya tersasar.

Percubaan pertama Messi yang benar-benar mengancam kubu lawan hadir empat minit selepas separuh masa kedua bermula apabila dia melepaskan rembatan rendah dari luar kotak penalti, tetapi sekali lagi diselamatkan Weverton.

Allende terus mengancam apabila dia melakukan larian di sebelah kanan dan melepaskan rembatan yang hanya sedikit tersasar, manakala satu lagi percubaan Messi sedikit melewati palang gol.

Gol kedua Miami hadir pada minit ke-65 apabila Suarez yang berusia 38 tahun memperlihatkan sentuhan magisnya apabila melepasi dua pertahanan sebelum melepaskan rembatan deras ke penjuru atas gawang.

Kedudukan teratas kumpulan amat penting buat Miami kerana ia boleh mengelakkan pertemuan dengan PSG, tetapi harapan itu lebur apabila Palmeiras memperoleh satu mata penting melalui kebangkitan di akhir perlawanan.

Pemain gantian Paulinho menjaringkan gol pada minit ke-80 hasil hantaran cantik Allan Andrade. 

Ketika hanya tiga minit baki permainan, tandukan Maxi Falcon jatuh ke kaki Mauricio yang tidak mensia-siakan peluang dengan rembatan deras ke penjuru jauh, menjadikan kedudukan 2-2.

“Ia malam bersejarah untuk MLS, kerana kami kini dalam kelompok 16 pasukan terbaik dunia. Keseluruhan MLS patut berbangga dengan Inter Miami,” kata jurulatih Miami, Javier Mascherano kepada DAZN.

“Kami bermain dengan penuh semangat. Biasanya perlawanan seperti ini lebih tegang daripada liga domestik, tetapi kami juga cuba bermain bola sepak dengan pendekatan progresif,” tambahnya. – AFP

Continue Reading

Previous: Sabah atasi Bintulu, Brunei, kongsi tempat ketiga dalam Sepak Takraw Veteran Ba’kelalan
Next: Harapan Sivasangari ke separuh akhir tidak kesampaian selepas catat kekalahan kedua

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.