
KUCHING: Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak kini melangkah ke era digital menerusi pelaksanaan Sistem I-Syariah iaitu platform pintar berasaskan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI), sekali gus memperkukuh pentadbiran keadilan Islam negeri ini, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak berkata sistem tersebut merupakan inisiatif strategik oleh Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) bersama Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (SAINS) bagi meningkatkan kecekapan, ketelusan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan Syariah.

“Ia bukan sahaja memperkemas proses seperti pendaftaran perkahwinan dan pengurusan kes, tetapi juga menjadi jambatan digital yang menghubungkan orang ramai dengan institusi kehakiman syariah di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ketika merasmikan Konvensyen Syariah Kebangsaan Sarawak (KoSKeS) di Dewan Kompleks Islam Sarawak di sini, hari ini.
Konvensyen yang julung kali diadakan itu bertemakan ‘Revolusi Pendigitalan dalam Kehakiman Syariah Sarawak’, selaras dengan agenda Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) dan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menjadikan pendigitalan sebagai teras pembangunan negeri.
Abang Johari berkata, pelaksanaan sistem tersebut turut menyokong Rangka Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030, sekali gus membuka ruang kepada tadbir urus pintar yang berteraskan prinsip Islam.
“AI mempunyai potensi besar membantu penyelidikan, analisis kes, penyediaan dokumen serta membuat keputusan berdasarkan data dengan lebih cepat dan tepat,” katanya.
Sementara itu, penggunaan teknologi perlu dilaksanakan secara beretika dan berlandaskan Maqasid Syariah, khususnya prinsip keadilan dan maslahat ummah.
Beliau turut mencadangkan agar Sistem I-Syariah dikembangkan sebagai model Tadbir Urus Syariah Pintar, yang mengintegrasikan nilai-nilai Islam dengan kekuatan teknologi moden secara menyeluruh.
Sebagai langkah memperkukuh keupayaan warga kehakiman syariah, majlis turut menyaksikan pertukaran dan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara JKSS dan tiga institusi pengajian tinggi iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaya (UM).
Melalui MoU tersebut, UIAM dan JKSS bersetuju bekerjasama dalam latihan amali, pendidikan undang-undang berterusan, penyelidikan, pembangunan dasar, pendidikan klinikal serta bantuan guaman.
USIM pula merealisasikan pelaksanaan Program Latihan Sijil Eksekutif Istinbat Hukum Dalam Penghakiman Syarie (KIPSYA) berfokus istinbat hukum secara digital, manakala UM memperkenal Program Sijil Perundangan dan Pentadbiran Syariah (SPPS) untuk memperkasa kakitangan pelaksana JKSS melalui modul latihan khas yang dikendalikan oleh tenaga pengajar Jabatan Syariah dan Undang-undang, UM.
Kerjasama ini disifatkan sebagai bukti kesungguhan Sarawak memperkukuh institusi Syariah melalui pemerkasaan modal insan dan jaringan akademik yang strategik.
“KoSKeS bukan sekadar platform ilmiah, tetapi ruang kerjasama serantau yang memperkukuh institusi kehakiman syariah, memantapkan profesionalisme pegawai, dan mendekatkan lagi sistem keadilan Islam kepada masyarakat,” katanya.
Oleh Shikin Mahmud