

PELAJAR Sekolah Menengah Green Road Kuching yang memperolehi Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 meraikan kejayaan mereka selepas pengumuman keputusan STPM 2024 peringkat Negeri Sarawak, hari ini. Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menawarkan 300 biasiswa baharu kepada pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan di universiti awam tempatan.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, inisiatif itu antara usaha kementerian menarik minat pelajar lepasan STPM menyertai profesion perguruan serta memperkukuh laluan akademik ke peringkat universiti.
“Ini yang kita sedang tumpukan perhatian untuk terus memberikan tumpuan kepada bakat-bakat berpotensi dan yang telah pun mencapai keputusan STPM yang baik untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik STPM, Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) dan Sijil Kecekapan Bahasa Melayu Bagi Warganegara Asing (SKBMW) 2024 anjuran Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) di sini hari ini.
Fadhlina berkata inisiatif itu selari dengan usaha memperkukuh sistem pendidikan negara dengan memastikan hanya mereka yang benar-benar beriltizam dan bersemangat tinggi menjadi tunjang kepada sektor pendidikan.
Pada masa sama, beliau berkata peluang turut diberikan kepada lepasan STPM untuk mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Perguruan di Institut Pendidikan Guru (IPG), berbanding sebelum ini yang hanya ditawarkan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Inilah antara komitmen besar KPM untuk memastikan Tingkatan Enam ini terus menjadi pilihan utama pelajar pasca-SPM dan membuka laluan lebih luas kepada mereka,” katanya.
Selain pelajar, guru Tingkatan Enam juga akan menerima manfaat menerusi pelaksanakan kursus dan latihan secara tanggungjawab sosial korporat (CSR), dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) dan MPM bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.
Fadhlina turut menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif MPM yang merancang untuk memperkenalkan keputusan ‘patching’ bagi calon yang ingin memperbaiki keputusan peperiksaan STPM pada tahun semasa.
Beliau berkata perkara itu dapat membantu mana-mana pelajar STPM yang ingin memperbaiki keputusan dapat dilaksanakan pada tahun yang sama tanpa menunggu tahun berikutnya sekali gus memberikan kelebihan kepada pelajar berkenaan untuk memohon memasuki universiti pada kohort pengambilan tahun semasa.
Fadhlina berkata STPM juga diiktiraf di peringkat antarabangsa, setara dengan GCE Advanced Level oleh Cambridge University Press and Assessment sekali gus membuka laluan lebih luas untuk pelajar melanjutkan pengajian ke luar negara.
“Yakinlah anak-anak bahawa Menteri Pendidikan akan sentiasa menyokong anak-anak … sistem pendidikan ini, khususnya STPM adalah antara yang terbaik dalam negara,” katanya.
Pada majlis itu, Pengerusi MPM Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff mengumumkan keputusan STPM 2024 mencatat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) nasional 2.85, meningkat 0.01 mata berbanding tahun sebelumnya. — Bernama