Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Herry sasar gelaran juara terbuka Jepun atau terbuka China
  • SUKAN

Herry sasar gelaran juara terbuka Jepun atau terbuka China

Utusan Sarawak 15 hours ago
KETUA jurulatih beregu lelaki negara Herry Iman Pierngadi

KUALA LUMPUR:  Ketua jurulatih beregu lelaki negara Herry Iman Pierngadi mencabar anak buahnya untuk memenangi sekurang-kurangnya satu gelaran pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun 2025 atau Terbuka China 2025 bulan depan.

Herry berkata persiapan para pemain berjalan lancar menjelang saingan Terbuka Jepun 2025 yang dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 20 Julai di Tokyo dan Terbuka China 2025 di Changzhou (22 hingga 27 Julai).

“Persiapan sangat baik ketika ini, saya ada sasaran peribadi dan berharap (pemain) dapat gelaran (Terbuka Jepun atau Terbuka China) untuk Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini hari ini.

Terbuka Jepun 2025 yang bertaraf Super 750 menawarkan hadiah wang kemenangan keseluruhan berjumlah ASD950,000 (RM4.04 juta), manakala Terbuka China 2025 yang berstatus Super 1,000 pula menyaksikan hadiah wang kemenangan lebih lumayan iaitu USD2 juta (RM8.51 juta).

Herry, yang mula membimbing kem beregu lelaki negara sejak Februari lepas tidak menunggu lama untuk mencetuskan impak dengan membantu bekas juara dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjuarai Kejohanan Badminton Asia 2025 pada April lepas, diikuti Terbuka Thailand 2025 dan Terbuka Singapura 2025 bulan lepas.

Sentuhan jurulatih berusia 62 tahun dari Indonesia itu juga menyaksikan satu lagi pasangan negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun mendakap gelaran di laman sendiri iaitu Masters Malaysia 2025 bulan lepas.

Beliau pada masa sama mengakui beregu negara yang lain termasuk Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri masih memerlukan masa untuk merapatkan jurang dengan Aaron-Wooi Yik dan Wei Chong-Kai Wun.

“Setiap pasangan tidak sama. Seperti Aaron-Wooi Yik, mereka hanya perlu dua hingga tiga bulan (adaptasi corak latihan) kerana sudah matang. Jadi, saya perlu beri masa kepada mereka (Wan Arif-Roy King dan Hon Jian-Muhammad Haikal) untuk menghampiri pasangan di atas,” katanya.

Diberi julukan ‘Naga Api’, Herry adalah jurulatih berprofil tinggi yang berjaya membuktikan sentuhan magisnya membentuk deretan gandingan bertaraf dunia dari Indonesia termasuk melahirkan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Candra Wijaya-Tony Gunawan (Sydney 2000) dan Hendra Setiawan-Markis Kido (Beijing 2008).– Bernama

Continue Reading

Previous: Jun Hao sedia sahut cabaran sebagai pemain perseorangan utama negara
Next: Sabah atasi Bintulu, Brunei, kongsi tempat ketiga dalam Sepak Takraw Veteran Ba’kelalan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.