
SARIKEI: Muzik dan budaya menjadi jambatan penyatuan masyarakat berbilang kaum, malah memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang lebih harmoni dan menghargai warisan seni bangsa.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, seni muzik mampu merentasi batasan bahasa dan budaya, sekali gus menyatukan pelbagai lapisan masyarakat di Sarawak.
“Muzik adalah satu kekuatan yang melangkaui bahasa dan budaya, dan pertandingan nyanyian malam ini adalah platform untuk menampilkan bakat serta mewarisi budaya,” katanya.
Tiong Sii berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh wakil beliau, Huang Tiong Kang sempena pertandingan pemilihan penyanyi Cina untuk kategori veteran lelaki dan veteran wanita bagi mewakili Sarikei ke peringkat negeri kali ke-21 di sini, baru-baru ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok turut menekankan kepentingan memartabatkan lagu-lagu berbahasa Cina sebagai sebahagian daripada identiti dan emosi kolektif masyarakat yang perlu diwarisi dan dipelihara generasi ke generasi.
“Terutamanya lagu-lagu berbahasa Cina, ia membawa bersama emosi, sejarah dan identiti kita yang patut kita hargai dan warisi dengan sepenuh hati,” katanya.
Majlis yang merupakan anjuran Pertubuhan Muzik dan Nyanyian Da Lian Sarikei ini juga turut meraikan sambutan hari ibu dan bapa.
“Ia adalah satu detik istimewa untuk mengenang jasa dan pengorbanan ibu bapa dalam membesarkan anak-anak dan membina masyarakat sejahtera.
“Ini bukan sahaja satu perayaan tradisional, tetapi juga saat penting untuk menzahirkan kasih sayang dan penghargaan kepada ibu bapa.
“Pengorbanan mereka wajar kita kenang selama-lamanya,” katanya.
Oleh Earl Anek