
KUALA LUMPUR: Polis masih dalam usaha mengenal pasti suspek terlibat dalam kejadian tembakan mengakibatkan dua orang maut di hadapan sebuah kedai serbaneka di Jalan Loke Yew, Cheras di sini pada 17 Jun lepas.
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Aidil Bolhassan berkata setakat ini pihaknya telah merakam keterangan daripada 19 individu bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Usaha untuk mengenal pasti suspek sedang dijalankan dan setakat ini masih tiada sebarang tangkapan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam kejadian pada 12.48 tengah malam itu, dua lelaki tempatan maut selepas sekumpulan lelaki bertopeng ski hitam melepaskan tembakan ke arah mereka.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) selama 21 saat yang tular di media sosial memaparkan sekumpulan individu melepaskan tembakan ke arah mangsa sebelum melarikan diri.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Brickfields, polis turut merakam keterangan 19 individu berhubung kes tembakan yang mengorbankan seorang lelaki.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Ku Mashariman Ku Mahmood berkata usaha mengesan dan mengenal pasti suspek juga sedang dijalankan.
Dalam kejadian kira-kira 10.50 malam itu, dua lelaki menaiki motosikal melepaskan beberapa das tembakan ke arah sekumpulan lelaki yang sedang makan di sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields yang menyebabkan seorang maut manakala dua lagi cedera.– Bernama