
MINGGU lepas wacana saya menyentuh mengenai pemergian Datuk Ajibah Abol pada 1976. Pemergiannya secara tiba-tiba itu mengejutkan semua pihak.
Ramai def-def kehormat menghadiri upacara pengebumian beliau. Malah rakyat Sarawak juga datang ke rumah beliau dan tanah perkuburan.
Kedatangan ramai def-def kehormat sehingga ada telegram ucapan takziah daripada Sultan Selangor menunjukkan bahawa Ajibah Abol bukannya sebarangan orang.
Beliau menunjukkan peranannya besar dalam perkembangan sejarah Sarawak. Sebelum pergi jauh dijelaskan sedikit latar belakangnya.
LAHIR
Bagaimanapun, pada peringkat awal tidak banyak diketahui mengenai tokoh ini. Hanya beberapa maklumat dari buku-buku mengenainya tentang tokoh, buku sejarah politik dan buku ringkas tentang beliau serta buku mengenai sejarah wanita.
Terdapat dua sumber mengenai tahun kelahirannya. Pertama mengatakan bahawa beliau lahir pada 24 September 1925. Sumber lain menyatakan beliau lahir pada 1926.

Sumber ketiga pula menyatakan beliau lahir pada 1921. Kesimpulannya Ajibah Abol lahir pada 1920-an.
Beliau merupakan anak kedua daripada tujuh adik beradik. Pendidikan awalnya adalah di Sekolah Permaisuri. Ini merupakan sedikit ini sahaja maklumat tentang kegiatan awalnya sebelum meletus Perang Dunia Kedua.
Apa yang boleh ditambah dalam biodata awal ini ialah beliau mempunyai jiwa pendidik. Beliau menyertai kerjaya ini selepas tamatnya Perang Dunia Kedua sebagai guru di Sekolah Permaisuri dan Sekolah Kanak-Kanak (Tadika). Mungkin lebih awal daripada itu.
Apa yang lebih penting bagi wanita besi Sarawak ini ialah beliau mempunyai semangat juang yang tinggi. Hal ini ditunjukkan dengan penglibatannya dalam perjuangan melawan penyerahan Sarawak kepada British.
ANTIPENYERAHAN
Apabila berita penyerahan Sarawak kepada British diumumkan, Ajibah Abol bersama-sama golongan ibu Sarawak mengambil pendekatan menentang tindakan ini.
Atas sebab itulah beliau menyertai Pesatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS). Atas jiwa kuat dalam perjuangan menentang penyerahan Sarawak kepada British, Ajibah Abol bersama-sama dengan kakitangan Sarawak meletak jawatan dalam kerajaan negeri Sarawak pada 1947.
Peletakan jawatan ini selari dengan tindakan kerajaan British memperkenalkan ‘Circular 9’ yang menuntut kesetiaan kakitangan kerajaan untuk menumpu taat setia kepada pemerintah British.
Tindakan Ajibah Abol ini, cukup berani dan diluar jangka bagi seseorang yang masih lagi muda untuk meneruskan kehidupan pada zaman tekanan British.
Ajibah Abol sanggup menerima jawatan dengan gaji tidak menentu selepas itu untuk mendidik anak bangsa di Sekolah Rakyat.
Beliau bersama-sama dengan Lily Eberwein telah menubuh satu bahagian untuk wanita dalam PKMS iaitu sayap Kaum Ibu. Penubuhan Kaum Ibu menunjukkan bahawa beliau bersama-sama tokoh wanita lain berjuang bersama-sama golongan lelaki untuk menentang penyerahan.
Pada hari penubuhan Kaum Ibu (1947) beliau dipilih sebagai setiausaha Kaum Ibu PKMS.
Antara usaha mereka melawan penyerahan Sarawak ialah melakukan penerangan kepada dunia bahawa mereka menentang penyerahan.
Ajibah Abol ketika itu bersama-sama Presiden Kaum Ibu, Lili Eberwein telah pergi ke Singapura, dan membuat sidang akhbar tentang pendirian mereka.
Mereka juga berjumpa dengan Anthony Brooke dan berusaha membawa waris kerajaan Brooke itu ke Sarawak.
Di Sarawak beliau bersama-sama Kaum Ibu menyahut seruan untuk mengadakan demontrasi menentang penyerahan. Beliau juga bersama-sama Kaum Ibu mengadakan lawatan ke luar bandar untuk menentangkan tentang kesan buruk penyerahan ini kepada penduduk Sarawak.
Seperti maklum bahawa perjuangan antipenyerahan mencapai kemuncak dengan pembunuhan Gabenor Sarawak yang secara beransur-ansur menamatkan perjuang antipenyerahan.
Ajibah Abol pula meneruskan perjuangannya sebagai pendidik selepas itu. Pada 1957 beliau mengantikan Lily Eberwein sebagai Presiden Kaum Ibu PKMS.
PENERUSAN
Dalam tempoh selepas kes pembunuhan Gabenor Sarawak, beliau terlibat dalam pelbagai lagi kegiatan sosial. Beliau menyertai ‘Women Institute’ iaitu badan utama di Sarawak ketika itu untuk memperkasakan wanita.
Salah satu perjuangan beliau selepas tamatnya gerakan antipenyerahan ini ialah dalam bidang pendidikan agama untuk golongan wanita.
Pada 1952, Ajibah Abol menubuh kelas-kelas agama untuk gologan wanita Islam di Kuching. Sistem pendidikan kelas agama ini berdasarkan enam tahap (enam darjah).
Kelas-kelas itu hanya beroperasi tiga kali seminggu. Sehingga 1963 seramai 200 wanita menyertai kelas tersebut.
KEMERDEKAAN
Walaupun gagal dalam menamatkan pemerintahan British, tetapi jiwa beliau masih menyimpan hasrat untuk Sarawak merdeka. Peluang yang ditunggu-tunggu adalah apabila Tunku Abdul Rahman mengumumkan pembentukan Malaysia.
Pengumuman rancangan Malaysia ini dilihat oleh beliau sebagaial ternatif terbaik untuk Sarawak merdeka.
Atas sebab itu beliau kembali aktif dalam politik. Beliau menyertai Barisan Rakyat Jati Sarawak (BARJASA) sebagai parti yang akan memberi pendirian Sarawak dalam rancangan Tunku itu. Dalam BARJASA beliau diangkat sebagai ketua pergerakan wanita.
Tugas yang diberi oleh parti beliau telah dijalankan dengan bersungguh-sungguh. Beliau berkempen bersama-sama BARJASA untuk memberi penerangan tentang Malaysia sehingga ke kampung-kampung.
Ajibah Abol pernah dijemput oleh Kaum Ibu UMNO pada 25 Ogos 1963 untuk memberi ucapan pada mesyuarat Kaum Ibu UMNO dan Hari Wanita di Kuala Lumpur.
Antara intipati ucapan beliau menyentuh tentang sokongan kepada pembentukan Malaysia.
Beliau menyatakan bahawa Malaysia dapat membantu Sarawak membangun dengan lebih cepat. Dalam hal yang sama juga beliau menyatakan hasrat agar Kaum Ibu UMNO membantu golongan wanita di Sarawak yang masih ketinggalan dalam arus pembangunan.
Menurut Ajibah Abol, ramai wanita Sarawak yang masih ketinggalan dalam bidang pelajaran dan ada juga yang buta huruf. Beliau juga menambah bahawa pihak yang menentang Malaysia hanyalah sedikit dan mereka kebanyakannya disangsikan kesetiaan kepada Sarawak.
KEMAJUAN
Selepas pembentukan Malaysia, beliau dipilih sebagai salah seorang ahli parlimen dari Sarawak. Perjuangannya sebagai pemimpin ini diteruskan untuk meningkat semangat kebangsaan di Sarawak.
Salah satu yang beliau tekankan adalah penggunaan bahasa Melayu dan menyokong penggunaan bahasa Melayu diperkasakan di Sarawak.
Rakaman ringkas ini menunjukkan bagaimana Datuk Ajibah Abol yang berjiwa merdeka berusaha membaiki anak bangsanya terutama golongan wanita.
Beliau tidak gentar untuk berdepan dengan pihak British malahan sanggup meletak jawatan dalam mana kesusahan terus melanda kehidupan beliau.
Namun hasrat untuk merdeka diteruskannya dengan pembentukan Malaysia. Di lain wacana akan cuba saya bicarakan lagi dengan lebih lanjut tentang perjuang wanita besi ini.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).