
Gambar hiasan
PARIS: Seorang wanita Perancis dari pulau Guadeloupe di Caribbean dikenal pasti sebagai satu-satunya pembawa darah jenis baharu dikenali ‘Gwada negatif’, menurut agensi bekalan darah Perancis.
Pengumuman itu dibuat 15 tahun selepas penyelidik menerima sampel darah daripada pesakit yang menjalani ujian rutin sebelum pembedahan, kata French Blood Establishment (EFS) pada 20 Jun lalu.
“EFS baru saja menemui sistem kumpulan darah ke-48 di dunia!
“Penemuan itu diiktiraf secara rasmi pada awal Jun di Milan oleh Persatuan Transfusi Darah Antarabangsa,” kata agensi itu dalam satu kenyataan di rangkaian sosial Linkedin.
Persatuan saintifik itu sehingga kini mengiktiraf 47 sistem kumpulan darah.
Dr Thierry Peyrard, ahli biologi perubatan di EFS yang terbabit dalam penemuan itu memberitahu AFP bahawa antibodi sangat luar biasa ditemukan pada pesakit pada 2011.
Bagaimanapun, sumber ketika itu tidak membenarkan penyelidikan lanjut.
Saintis akhirnya dapat membongkar misteri itu pada 2019 hasil ujian “asid deoksiribonukleik (DNA) tinggi”, yang menyerlahkan mutasi genetik, kata Dr Peyrard.
Katanya, pesakit yang berusia 54 tahun dan tinggal di Paris menjalani ujian rutin sebelum pembedahan apabila antibodi yang tidak diketahui itu dikesan.
“Wanita ini tidak dapat dinafikan satu-satunya kes yang diketahui di dunia.
“Dia satu-satunya orang di dunia yang serasi dengan dirinya sendiri,” kata pakar itu.
Dr Peyrard berkata, wanita itu mewarisi jenis darah daripada bapa dan ibunya, yang masing-masing mempunyai gen bermutasi.
‘Gwada negatif’ yang merujuk kepada asal usul pesakit dan ‘kedengaran baik dalam semua bahasa’ popular dalam kalangan pakar, kata Dr Peyrard.
Sistem kumpulan darah ABO ditemukan pada awal 1900-an. – AFP