
SIMANGGANG: Komuniti MADANI di bawah Jabatan Penerangan Malaysia disifatkan sebagai pemangkin penting komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat, khususnya dalam usaha menyampaikan maklumat dasar serta menyuarakan keperluan masyarakat di peringkat akar umbi.
Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh berkata peranan komuniti MADANI tidak terhad kepada penyebaran maklumat, sebaliknya menjadi saluran efektif dalam menghubungkan suara rakyat dengan pihak pembuat dasar.
“Komuniti MADANI memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat mengenai dasar kerajaan dan menyalurkan kembali maklum balas rakyat di peringkat akar umbi kepada kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program JIWA@Komuniti MADANI Kemasyarakatan Kampung Melayu Simanggang yang berlangsung di Gelanggang Futsal Taman Sentosa Indah, dekat sini pagi tadi.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pegawai Tadbir Pejabat Residen Bahagian Sri Aman, Hafiz Kepli yang hadir mewakili beliau dalam majlis perasmian tersebut.
Menurut Mahra, ahli Komuniti MADANI juga digalakkan untuk memperluas capaian maklumat dengan memanfaatkan platform digital seperti media sosial, selain terus mengamalkan pendekatan bersemuka bersama masyarakat.
“Saya berharap agar ahli komuniti MADANI Kampung Melayu Simanggang akan bergerak lebih aktif membantu memasarkan maklumat dan inisiatif kerajaan melalui platform media sosial dan juga secara bersemuka,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Jabatan Penerangan (JaPen) Daerah Sri Aman, Safariza Bujang berkata penubuhan Komuniti MADANI membuka pelbagai ruang dan peluang kepada ahlinya untuk terlibat secara langsung dalam program berorientasikan penyampaian maklumat dasar kerajaan.
“Penubuhan komuniti MADANI membuka peluang luas kepada ahli-ahlinya untuk menyertai pelbagai program, kursus dan latihan yang telah dianjurkan sejak penubuhannya,” katanya.
Beliau memaklumkan antara inisiatif terkini yang dilaksanakan ialah kursus bersama Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang diadakan secara berkala pada minggu pertama dan ketiga setiap bulan.
Katanya lagi, penglibatan aktif ahli komuniti MADANI juga dapat dilihat melalui penganjuran program seperti Jiwa Komuniti MADANI@Sembang Santai dan Maklumat di Roda (IOW) yang dijalankan sempena program hari ini.
“Melalui program ini, jaringan komunikasi secara bersemuka dapat diperluaskan bagi menyampaikan maklumat berkaitan dasar kerajaan dengan lebih berkesan, sekali gus meningkatkan kefahaman serta sokongan rakyat terhadap inisiatif kerajaan semasa,” jelasnya.
Program anjuran bersama Pejabat Penerangan Daerah Sri Aman bersama komuniti Madani Kampung Melayu Simanggang dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sentosa Indah turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian seperti senamrobik dan gotong-royong.
Oleh Adi Safarman