
BINTULU: Dua lelaki maut selepas lori tiga tan yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori lima tan membawa muatan batu di simpang Sungai Asap di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.34 pagi sebelum enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 85 kilometer.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori tiga tan yang tidak membawa muatan bertembung dengan lori lima tan membawa muatan batu, menyebabkan lori tiga tan terbalik dan dua individu tersepit di dalamnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pasukan Keluaran Operasi (PKO) seterusnya menggunakan jentolak bagi mengalihkan kedudukan lori yang terbalik sebelum berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa.
Mangsa, Ling Kwan Hian dan Nicholas Sigo, masing-masing berusia 40 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
Sementara itu, pemandu lori lima tan didapati tiada di tempat kejadian semasa pasukan penyelamat tiba.
Kedua-dua mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 2.48 petang.
Oleh Carolyne Utih