
KUCHING: Usaha memastikan jalan Persekutuan di Sarawak kekal selamat dan berkualiti diperkukuhkan dengan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi pelaksanaan 46 projek penyelenggaraan berkala di bawah Kontrak Penyelenggaraan Jalan Persekutuan Tahun 2025.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata peruntukan itu merupakan sebahagian daripada dana keseluruhan berjumlah RM400 juta yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan menerusi Belanjawan 2025, khusus bagi penyelenggaraan jalan Persekutuan yang melibatkan kontraktor Bumiputera di seluruh negara.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 25 projek melibatkan kerja Berkala Pavemen (BP) seperti turapan dan tampalan jalan, manakala 21 lagi membabitkan projek Berkala Bukan Pavemen (BBP).
“Bagi agihan berdasarkan kategori kontraktor, enam Arahan Kerja (AK) diperuntukkan kepada Kontraktor G1, 14 untuk G2, dua bagi G3, dan 24 untuk G4,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan majlis Cabutan Undi Kerja Berkala bagi Kontraktor G1 hingga G4 di Hotel Sheraton Kuching, hari ini.
Menurut Alexander, pelaksanaan cabutan undi merupakan antara inisiatif Kerajaan MADANI dalam memperkasa kontraktor kecil dan sederhana Bumiputera melalui proses pemilihan yang adil, telus serta berteraskan merit di samping memperkukuh ekonomi tempatan.
“Program ini telah diperkenalkan sejak 2020 dan terbukti membantu meningkatkan daya saing serta kebolehpasaran kontraktor Bumiputera.
“Setiap projek bukan sekadar peluang menjana pendapatan, sebaliknya merupakan amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
“Jika kerja dilakukan sambil lewa atau tidak mengikut spesifikasi, ia bukan sahaja menjejaskan mutu jalan, malah mengancam nyawa pengguna.
“Dalam hal keselamatan, tiada ruang untuk kompromi,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua kontraktor yang berjaya agar memahami skop kerja dengan jelas, mengurus sumber dengan cekap dan memastikan pelaksanaan mematuhi jadual serta standard yang ditetapkan.
Tambahnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak juga diminta agar memainkan peranan aktif dalam memantau kualiti kerja di lapangan dan tidak melepaskan tanggungjawab selepas projek diagihkan.
Menurut kenyataan Kementerian Kerja Raya, penyelenggaraan berkala permukaan jalan melibatkan kaedah seperti kisar dan turap semula, CIPR, lapisan turapan tambahan dan pembinaan semula, manakala kerja bukan permukaan termasuk mengecat garisan jalan, membaik pulih papan tanda, membina pembahagi jalan dan menaik taraf sistem perparitan.
Oleh Amanda L.