
PETRA JAYA: Suasana pilu menyelubungi kediaman rasmi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg, susulan pemergian isteri beliau, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, awal pagi tadi.
Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Normah, Kuching, pada 3.34 pagi tadi, pada usia 76 tahun.
Pemergian beliau dirasai oleh rakyat Sarawak dan barisan pemimpin, yang mengenang beliau sebagai seorang tokoh yang tenang, berdedikasi dan sentiasa menjadi tulang belakang kepada kepimpinan suami tercinta.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi antara tokoh terawal hadir menyampaikan ucapan takziah secara peribadi kepada Premier Sarawak. Beliau tiba pada 9.00 pagi dan disambut oleh Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman, dalam suasana penuh hiba bersama ahli keluarga serta sahabat terdekat.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid menyifatkan pemergian Allahyarhamah sebagai satu kehilangan besar buat negeri dan negara, khususnya dalam landskap kebajikan serta pemerkasaan wanita di Sarawak.
“Allahyarhamah bukan sekadar isteri kepada pemimpin, tetapi juga seorang pendamping setia dan tonggak dalam perjalanan politik serta kepimpinan Premier Sarawak. Sumbangannya kepada masyarakat, khususnya dalam memperkasa wanita dan komuniti, cukup besar dan akan terus dikenang,” ujarnya.
Beliau turut mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat, diampunkan segala dosanya, serta ditempatkan dalam kalangan para solihin, dan memohon agar keluarga dikurniakan kekuatan menghadapi ujian ini.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bersama isteri Datuk Dayang Morliah Awang Daud, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta isteri Datin Zuraini Abdul Jabbar, Ahli-ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan kerajaan serta keluarga terdekat.
Menurut kenyataan rasmi Pejabat Premier Sarawak, majlis penghormatan terakhir akan diadakan di Masjid Jamek, Petra Jaya bermula 10.00 pagi tadi hingga 12 tengah hari, sebelum jenazah Allahyarhamah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang, Petra Jaya.
-UKAS