
SEPANG: Sebanyak 24 individu termasuk 17 rakyat Malaysia, yang dibawa keluar dari Iran susulan konflik yang semakin meruncing di negara itu selamat tiba di tanah air, semalam.
Penerbangan Malaysia Airlines MH781 itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini, pada 11.03 malam.
Ketibaan mereka disambut Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani.
Kumpulan itu terdiri daripada 17 rakyat Malaysia, enam warga Iran yang merupakan tanggungan kepada rakyat Malaysia serta seorang warga Singapura.

Duta Besar Malaysia ke Iran Khairi Omar yang mengetuai kumpulan itu ketika ditemui media berkata mereka perlu melalui jalan darat kira-kira 1,000 kilometer untuk keluar dari Tehran.
“Kita pilih laluan yang jauh daripada punca serangan yang datangnya dari arah barat. Maka, kita ke arah timur. Alhamdulillah (kami mendapat) kerjasama rapat dari Kerajaan Turkmenistan yang membenarkan rakyat asing untuk melalui sempadan,” katanya.
Beliau berkata terdapat kira-kira 12 rakyat Malaysia yang masih berada di Iran dan Wisma Putra memantau rapat perkembangan mereka bagi memastikan kesemuanya berada dalam keadaan selamat dan baik.

Sementara itu, Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan kesemua mereka telah melepasi sempadan Iran-Turkmenistan semalam dan mereka kemudiannya menaiki penerbangan Turkmenistan Airlines T5 647 pada 22 Jun dan transit di Bangkok, Thailand sebelum menaiki Malaysia Airlines MH 781 untuk pulang ke Malaysia.
Proses evakuasi itu berjaya dilaksanakan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Tehran, melibatkan perjalanan darat sejauh 1,120 kilometer ke pintu sempadan Iran-Turkmenistan.
Urusan penerbangan dari Ashgabat, Turkmenistan ke Bangkok, Thailand dan seterusnya ke Malaysia turut dibantu serta diselaraskan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Ashgabat dan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok.
“Kerajaan Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Republik Islam Iran, Kerajaan Turkmenistan dan Kerajaan Thailand atas kerjasama erat yang telah diberikan, yang membolehkan proses membawa pulang rakyat Malaysia ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.
“Proses evakuasi ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Malaysia dalam menjamin keselamatan dan kebajikan warganegara, selaras dengan nilai teras Ihsan dalam kerangka Malaysia MADANI,” menurut kenyataan itu.
Wisma Putra memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Ashgabat juga telah membantu pergerakan dan penerbangan warganegara Brunei dari Turkmenistan pulang ke negara asal masing-masing.
Penglibatan seorang warganegara Singapura dalam operasi evakuasi kali ini serta bantuan kepada warganegara Brunei mencerminkan kesediaan Malaysia untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat negara anggota ASEAN, sejajar dengan semangat solidariti serantau. – Bernama