
Gunung berapi Shinmoedake, Jepun
TOKYO: Gunung berapi Shinmoedake yang terletak di banjaran gunung di sempadan Wilayah Kagoshima dan Miyazaki, Jepun, meletus pada Ahad, menandakan letusan pertamanya sejak 2018, lapor Xinhua.
Agensi Meteorologi Jepun (JMA) melaporkan letusan berlaku sekitar 4.37 petang waktu tempatan, dengan plum abu mencecah lebih 500 meter di atas kawah.
Asap itu bergerak ke arah timur menuju Wilayah Miyazaki, dan setakat ini tiada batu gunung berapi yang disahkan jatuh, menurut penyiar nasional NHK.
Amaran gunung berapi Tahap Dua, mengehadkan kemasukan berhampiran kawah, kekal berkuat kuasa di kawasan berkenaan.
Pihak berkuasa menggesa orang ramai berwaspada dalam radius dua km daripada kawah kerana risiko batu gunung berapi besar dan aliran piroklas dalam lingkungan kira-kira satu kilometer.
Penduduk dinasihatkan untuk terus berwaspada, terutama di kawasan bawah angin, kerana abu dan batu kecil mungkin dibawa angin pada jarak jauh.
— BERNAMA-XINHUA