
SARATOK: Penantian hampir 15 tahun penduduk di kawasan Kampung Kupang ke Simpang Jalan Bajau akhirnya berakhir dengan bermulanya pembinaan jalan utama sepanjang 19.9 kilometer (km) di jajaran tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, berkata projek ini bukan sekadar pembinaan infrastruktur, tetapi lambang penunaian janji yang telah lama dinantikan rakyat.
“Saya sendiri telah turun padang berkali-kali dan mendengar keluhan serta harapan penduduk. Kini, dengan bermulanya projek ini, kampung-kampung di sepanjang laluan ini termasuk anak-anak di SK Sungai Entebu akan menikmati akses lebih baik ke pekan Saratok, selain kemudahan kesihatan, pendidikan dan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Jalan Kampung Kupang ke Simpang Bajau, yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.
Projek ini merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), bertujuan memastikan penduduk luar bandar turut menikmati kemudahan infrastruktur berkualiti.
Menurut Mohamad Duri, jalan baharu ini merangkumi 16.9 km jalan utama dan 3 km jalan spur, termasuk lima jambatan konkrit, sistem saliran, serta kemudahan jalan lain, dengan kos pembinaan RM112.9 juta dan tempoh pelaksanaan 32 bulan.
“Saya yakin projek ini bakal menjadi pemangkin pembangunan di Saratok dan meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar,” ujarnya.
Beliau juga menyatakan bahawa kemajuan projek kini mencatatkan penambahan sebanyak 1.40 peratus lebih awal daripada jadual dan berharap prestasi ini dapat dikekalkan sehingga siap sepenuhnya.
“Saya menggesa agar kontraktor FDZ Engineering Sdn. Bhd., Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan Jurutera Bahagian Betong bekerjasama erat demi memastikan projek ini dilaksanakan mengikut jadual dan spesifikasi,” tegasnya.
Turut hadir Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pelabuhan, Datuk Majang Renggi, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman, Ahli Dewan Negara, Pele Peter Tinggom, Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohammad Shafizan Kepli, ADUN Krian, Friday Belik serta ADUN Beting Maro, Razaili Gapor.
Oleh Adi Safarman