Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Pendaftaran OKU perkukuh akses kepada hak dan sokongan sosial – Fatimah
  • SEMASA

Pendaftaran OKU perkukuh akses kepada hak dan sokongan sosial – Fatimah

Utusan Sarawak 22 hours ago
MENTERI Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berucap semasa merasmikan Program Juh Daftar OKU Sarawak di Mydin Petra Jaya hari ini. Foto UKAS

PETRA JAYA: Pendaftaran sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) bukan hanya bertujuan untuk mengesahkan status, malah membuka akses kepada pelbagai insentif dan kemudahan kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup golongan berkeperluan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah menekankan bahawa pendaftaran rasmi sebagai OKU memberi ruang kepada individu terlibat untuk menikmati pelbagai manfaat dalam aspek pendidikan, latihan, pekerjaan, keusahawanan, perumahan, kesihatan dan pembangunan kendiri.

“Masih ramai yang belum sedar bahawa pendaftaran OKU memberikan akses menyeluruh kepada sokongan yang disediakan oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta,” katanya semasa merasmikan Program Juh Daftar OKU Sarawak di Mydin Petra Jaya, hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa pendaftaran ini membantu kerajaan merangka dasar dan program yang lebih tersasar dan berkesan.

Menurut beliau, data pendaftaran yang lengkap dan tepat amat penting untuk membolehkan kerajaan merangka polisi inklusif serta menyusun peruntukan berdasarkan keperluan sebenar bagi setiap kategori OKU.

“Dengan adanya statistik yang jelas, kita dapat melaksanakan intervensi awal khususnya untuk kanak-kanak OKU yang menghadapi masalah dalam pembelajaran.

“Sehingga 31 Mei 2025, sebanyak 56,184 individu OKU telah berdaftar di Sarawak melalui Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU).

“Antara kategori pendaftaran tertinggi adalah masalah pembelajaran iaitu 39.6 peratus, diikuti fizikal sebanyak 28.8 peratus dan masalah mental pula 10.5 peratus,”ujarnya lagi.

Tambahnya, antara manfaat utama pendaftaran OKU termasuk akses kepada pelbagai perkhidmatan kerajaan seperti bantuan kebajikan, rawatan kesihatan, pendidikan dan kemudahan pengangkutan; peluang menyertai program latihan kemahiran dan keutamaan dalam pengambilan pekerjaan; sokongan bidang keusahawanan menerusi Geran Pelancaran sehingga RM5,000; kemudahan mesra OKU di tempat awam; serta peluang untuk terlibat dalam sukan dan aktiviti sosial hingga ke peringkat antarabangsa.

ORANG ramai yang menghadiri Program Juh Daftar OKU yang bertempat di Mydin Petra Jaya, hari ini. Foto UKAS

Program Juh Daftar OKU ini juga berperanan sebagai pusat sehenti (one-stop centre) untuk memudahkan urusan berkaitan pendaftaran baharu, penggantian kad, semakan status serta taklimat berkenaan manfaat OKU.

Ia melibatkan kerjasama pelbagai agensi seperti Jabatan Pendidikan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) berkaitan.

Melalui usaha ini, kadar pendaftaran tahunan OKU menunjukkan peningkatan ketara daripada 3,990 pada 2023 kepada 5,941 pada 2024.

Namun, beliau mengakui bahawa masih terdapat cabaran yang perlu diatasi seperti kurangnya kesedaran masyarakat, stigma sosial, akses terhad di kawasan pedalaman serta tanggapan bahawa prosedur pendaftaran adalah rumit.

“Kita tidak mahu ada sesiapa pun yang tercicir daripada menerima hak mereka. Kerjasama seluruh lapisan masyarakat amat penting untuk memastikan golongan OKU diberi peluang yang setara,” tegasnya lagi.

Beliau menggesa agar semua pihak menyokong usaha kerajaan untuk mencapai sasaran pendaftaran sebanyak 12 peratus daripada jumlah penduduk Sarawak menjelang 2030, sejajar unjuran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). – UKAS

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: PM Anwar tiba di Kuching, hadiri Majlis Makan Malam Gawai 2025
Next: Rimini Street cadang ambil 1,000 jurutera di Malaysia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.